Sekolah seliaan PPD Lubok Antu, PPD Kanowit ditutup sementara hari ini

1 day ago 9
ADVERTISE HERE

KUCHING, 21 Sept: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak memutuskan penutupan sementara semua sekolah rendah dan menengah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lubok Antu dan PPD Kanowit, berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Keputusan itu dibuat berdasarkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang direkodkan setakat jam 9 pagi tadi.

JPN Sarawak dalam kenyataan berkata, susulan penutupan berkenaan, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan berdasarkan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan pengurusan pengajaran dan pembelajaran akibat bencana.

“Bagi sekolah yang terletak berhampiran daerah dengan bacaan IPU melebihi 200, guru besar dan pengetua boleh mempertimbangkan pelaksanaan PdPR dengan mengambil kira faktor kesihatan dan keselamatan murid.

“Sekiranya trend bacaan IPU menunjukkan penurunan kepada bawah 200, pihak sekolah boleh membuat persediaan untuk pembukaan semula sekolah,” kata kenyataan itu.

Pihak sekolah turut diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan serta merujuk garis panduan KPM berkaitan langkah menjamin kesihatan dan keselamatan murid di kawasan berjerebu yang dianggap kritikal.

Kesihatan dan keselamatan murid serta guru perlu terus menjadi keutamaan sepanjang tempoh keadaan berjerebu.-TVS

Read Entire Article