Semai kesedaran keselamatan jalan raya sejak usia muda

1 hour ago 9
ADVERTISE HERE

KUCHING, 1 Okt: Kesedaran mengenai keselamatan jalan raya perlu dipupuk sejak usia muda bagi membentuk generasi yang berhemah, berdisiplin dan bertanggungjawab ketika menggunakan jalan raya.

Sehubungan itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menerusi Unit Keselamatan Jalan Raya dan Korporat (UKJRK) mengadakan Ceramah dan Demonstrasi Keselamatan Jalan Raya di Tabika KEMAS Tupong Ulu, di sini, hari ini.

Program berkenaan bertujuan memberi pendidikan serta pendedahan awal kepada kanak-kanak mengenai kepentingan keselamatan jalan raya dan pematuhan peraturan lalu lintas.

Menurut kenyataan JPJ Sarawak, antara pengisian yang disampaikan termasuk cara melintas jalan dengan selamat, penggunaan topi keledar yang betul serta aspek keselamatan ketika menaiki kenderaan.

“Kanak-kanak turut diperkenalkan kepada tanda dan isyarat lalu lintas sebagai sebahagian daripada pendidikan keselamatan jalan raya.

“Program advokasi seperti ini penting dalam membentuk generasi yang lebih peka terhadap keselamatan, selain menerapkan nilai tanggungjawab dan disiplin ketika menggunakan jalan raya,” menurut kenyataan itu.

JPJ Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada pihak Tabika KEMAS Tupong Ulu atas jemputan dan kerjasama dalam menjayakan program berkenaan.

Usaha berterusan seperti ini diharap dapat meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya sejak peringkat awal, sekali gus melahirkan generasi yang lebih berhemah, berdisiplin dan bertanggungjawab.-TVS

Read Entire Article