Serian FA dan Samarahan FA terikat 1-1

1 hour ago 4
ADVERTISE HERE

BALAI RINGIN, 19 Sept: Perlawanan antara Serian FA dan Samarahan FA berakhir dengan keputusan seri 1-1 dalam aksi Liga Premier Sarawak 2026 Zon Selatan di Kompleks Sukan Balai Ringin, hari ini.

Serian FA membuka tirai jaringan pada minit ke-55 menerusi Cairum Ridzuan Razi, sebelum Samarahan FA bangkit menyamakan kedudukan menerusi Alauddin Farid Atan pada minit ke-68.

Keputusan 1-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata selepas gagal mendapatkan gol kemenangan.

Presiden Serian FA, MD Haical Abdullah berkata, misi pasukannya adalah untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata bagi mengekalkan sasaran berada dalam kelompok empat terbaik Zon Selatan.

“Berdepan pasukan lawan yang masih belum tewas, Serian FA tampil bersedia untuk mencuri mata dan keputusan seri dianggap memadai dalam usaha mencapai sasaran tersebut. Kesungguhan pemain yang bekerjasama serta beraksi dengan penuh komitmen akhirnya membuahkan satu mata yang cukup bermakna buat Serian FA,” katanya ditemui media selepas perlawanan kejohanan Bola Sepak Liga Premier Sarawak 2026 bagi Zon Selatan antara Serian FA dan Samarahan FA.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Samarahan FA, Ideris Untong berkata sokongan daripada penyokong Samarahan FA diharap terus diberikan pada perlawanan seterusnya, khususnya dalam aksi terakhir menentang Kuching FA yang bakal menjadi penentu kedudukan pasukan.

“Ketinggalan satu gol bukan alasan untuk pasukan berputus asa, sebaliknya usaha terus digerakkan bagi mendapatkan gol penyamaan dan seterusnya gol kemenangan.

Meskipun usaha tersebut tidak kesampaian, keputusan seri tetap diterima dengan hati terbuka, selain penghargaan diberikan kepada para pemain, pegawai serta pihak pengurusan yang terus memberikan sokongan penuh kepada pasukan,” katanya.-TVS

Read Entire Article