ADVERTISE HERE
MUKAH, 28 Sept: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Mukah yang bermula 2 hingga 4 Oktober ini bakal tampil dengan beberapa nilai tambah baharu untuk pengunjungnya.
Ia termasuk penyertaan Bank Negara Malaysia (BNM), Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) serta perkhidmatan percuma seperti semakan wang tidak dituntut dan permohonan kad nikah.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, edisi kelapan SKS itu turut mencatat jumlah penyertaan tertinggi setakat ini dengan 50 agensi menawarkan kira-kira 170 perkhidmatan kepada masyarakat.
“BNM antaranya menyediakan khidmat semakan wang tidak dituntut menggunakan kad pengenalan, selain khidmat nasihat berkaitan pengurusan dan penstrukturan semula pinjaman.
“JAIS pula menawarkan permohonan kad nikah secara percuma, manakala pelbagai perkhidmatan lain disediakan menerusi tujuh kluster utama membabitkan pentadbiran, digital dan inovasi, keusahawanan, pendidikan, kesihatan serta sosial dan kebajikan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan dan persediaan SKS 2026 Bahagian Mukah di sini, hari ini.
Menurutnya, SKS Mukah turut menyediakan peluang pekerjaan menerusi temu duga terbuka JobSarawak dengan penyertaan tujuh syarikat, selain kaunter sehenti untuk pertanyaan dan aduan, perkhidmatan digital, pembiayaan, geran serta latihan keusahawanan.
“Dalam sektor kesihatan, orang ramai boleh mendapatkan saringan dan konsultasi kesihatan, vaksinasi influenza percuma untuk warga emas serta ujian HPV DNA bagi pengesanan kanser serviks secara percuma,” katanya.
Fatimah berkata, pelbagai aktiviti kemasyarakatan turut disediakan sepanjang tiga hari program, termasuk sukaneka, persembahan kebudayaan dan Konsert Rakyat, selain 85 hadiah menerusi e-Peraduan dengan hadiah utama sebuah Proton Saga bernilai RM41,000.
“Program ini menjadi peluang untuk rakyat mendapatkan perkhidmatan dan maklumat secara terus daripada agensi kerajaan tanpa perlu ke pejabat masing-masing, selain memahami agenda pembangunan Sarawak khususnya di bawah PCDS 2030,” katanya.
Beliau berkata, keadaan jerebu yang semakin baik ketika ini diharapkan membolehkan semua aktiviti SKS dilaksanakan seperti dirancang, namun langkah alternatif akan dipertimbangkan sekiranya keadaan udara kembali tidak sihat, terutama bagi aktiviti luar seperti Fun Walk demi menjaga keselamatan dan kesihatan pengunjung.-TVS

6 hours ago
4








English (US) ·