ADVERTISE HERE
MUKAH, 1 Okt: Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Mukah bakal menyediakan 170 perkhidmatan daripada 50 agensi kepada masyarakat menerusi penganjuran yang berlangsung selama tiga hari mulai esok.
Residen Bahagian Mukah, Bujang Rahman Seli berkata, pelbagai perkhidmatan dan pengisian disediakan bagi memastikan aspirasi SKS dapat dinikmati masyarakat serta memberi manfaat secara langsung kepada pengunjung.
Menurut beliau, persiapan kini memasuki peringkat akhir dengan 25 jawatankuasa kerja digerakkan bagi memastikan keseluruhan aktiviti dan pengisian program diselesaikan sebelum berlangsung.
“Sebanyak 25 jawatankuasa kerja telah diaktifkan dan kita sedang membuat persiapan terakhir bagi memastikan semua aktiviti dan kerja-kerja dapat diselesaikan sebelum esok.
“Matlamat kita bukan sahaja untuk memastikan program ini berjaya, tetapi yang lebih penting ialah supaya budaya dan aspirasi SKS dapat dinikmati oleh masyarakat,” katanya ketika ditemui TVS selepas temu bual eksklusif bersama TVS di sini hari ini.
Katanya, dua perkhidmatan baharu turut diperkenalkan menerusi penglibatan Bank Negara Malaysia bagi kaunseling kewangan dan urusan Wang Tidak Dituntut, manakala Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) menyediakan perkhidmatan mencetak kad perkahwinan.
“Selain itu, kita turut mendapat penyertaan tujuh syarikat seperti Press Metal dan Sarawak Oil Palms (SOP) yang akan menawarkan padanan pekerjaan serta temu duga terbuka kepada masyarakat, khususnya golongan belia.
“Selain daripada perkhidmatan tersebut, kita juga mempunyai Mukah Kitchen yang menyediakan 50 gerai yang tidak ada di tempat lain seperti linut, umai, ikan panggang, dan sebagainya,” katanya lagi.
Ujarnya, pengisian berkaitan budaya Melanau itu turut menjadi antara tarikan yang mampu memberikan pengalaman tersendiri kepada pengunjung.
Menurutnya, Sarawak Pavilion menghimpunkan pameran pembangunan dan perkhidmatan dengan 170 perkhidmatan daripada 50 agensi disediakan kepada pengunjung.
SKS Bahagian Mukah berlangsung di Dataran Pehin Setia Raja mulai 2 hingga 4 Oktober ini dengan pelbagai pengisian merangkumi perkhidmatan kerajaan, peluang pekerjaan serta aktiviti yang mengetengahkan makanan dan budaya tempatan.

3 hours ago
7








English (US) ·