ADVERTISE HERE
KUCHING, 1 Okt: Program Sekolah Lestari-Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) bukan sekadar inisiatif penjagaan alam sekitar, sebaliknya menjadi sebahagian daripada usaha melestarikan alam sekitar negeri dan negara.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, pendekatan menerusi program itu penting dalam membentuk kesedaran dan amalan kelestarian dalam kalangan generasi muda sebelum diterapkan dalam keluarga serta komuniti setempat.
Menurutnya, pendidikan alam sekitar di peringkat sekolah juga mampu memupuk kreativiti dan minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selain meningkatkan kesedaran terhadap pembangunan industri baharu berasaskan kelestarian.
“SLAAS bukan sekadar mengenai alam sekitar atau program alam sekitar, tetapi ia adalah sebahagian daripada (kaedah) dalam membina semula negeri dan negara. Ia (Program) mendidik masyarakat melalui kreativiti, melalui cara hidup dan membina asas (kelestarian) melalui bidang sains.
“Ia (juga) bukan hanya tanggungjawab kerajaan, semua orang boleh memainkan peranan masing-masing dan melakukan bahagian mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada program berkenaan yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Joseph, hari ini.
Dr. Sim menjelaskan pembentukan tabiat menjaga alam sekitar perlu dimulakan pada usia muda, termasuk menerusi amalan mengurangkan penggunaan plastik, pengasingan sisa, kitar semula serta pemuliharaan air dan tenaga.
Beliau turut mengaitkan kepentingan pendidikan kelestarian dengan cabaran perubahan iklim seperti El Nino, kemarau dan kekurangan sumber air yang memerlukan masyarakat memahami kesannya terhadap kehidupan seharian.
Katanya, kelestarian alam sekitar turut membuka ruang kepada pembangunan industri dan peluang baharu, termasuk bidang Carbon Capture, Utilization and Storage (CCUS), tenaga hijau serta tenaga boleh diperbaharui.
Sehubungan itu menurutnya, lebih ramai generasi muda perlu didedahkan kepada pengetahuan dalam bidang sains dan teknologi bagi menyokong pembangunan sektor berasaskan kelestarian pada masa hadapan.-TVS

2 hours ago
9








English (US) ·