ADVERTISE HERE
MIRI, 13 Sept: Solat jenazah bagi dua mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram, selesai dilaksanakan di Masjid Jamal Addin, Taman Jelita, di sini pagi tadi.
Solat jenazah itu melibatkan Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, juruterbang helikopter, dan Allahyarhamah Dr Ainul Baraah Kamaruddin, pegawai perubatan yang bertugas dalam misi FDS.
Solat jenazah dilaksanakan selepas solat Subuh dan disertai jemaah yang hadir termasuk bapa kepada Kapten Zainol, Bee Sham Ahmad, 59, bagi menunaikan fardu kifayah serta mendoakan kedua-dua mangsa.
Kedua-dua mereka merupakan antara lima individu yang terkorban dalam nahas helikopter yang berlaku berhampiran STOLport Long Lellang, Ulu Baram, pada 8 September lalu.
Allahyarham Kapten Zainol bertugas sebagai juruterbang, manakala Allahyarhamah Dr Ainul Baraah merupakan pegawai perubatan yang terlibat dalam perkhidmatan FDS bagi memberikan khidmat kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman.
Pemergian kedua-dua mangsa turut meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga, rakan sekerja serta komuniti yang menerima perkhidmatan FDS di pedalaman Sarawak. – TVS

1 hour ago
3








English (US) ·