ADVERTISE HERE
BETONG, 25 Sept: Kerja-kerja penambahbaikan Stadium Taha Ariffin yang kini sedang giat dilaksanakan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober tahun ini.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, antara kerja utama yang telah dan sedang dilaksanakan termasuk pemasangan rumput, pengubahsuaian bilik persalinan serta penambahbaikan tempat duduk penonton.
Menurutnya, aspek keselamatan turut diberi perhatian bagi memastikan stadium berkenaan mampu menampung kehadiran penonton dalam jumlah yang besar dengan lebih selamat dan selesa.
“Sekarang ini kita ada pengubahsuaian untuk tempat persalinan dan sebagainya termasuk kerusi serta kemudahan lain.
“Seterusnya ialah bagaimana kita dapat memastikan orang keluar masuk dengan selamat kerana jika stadium penuh, banyak keperluan dari segi kecemasan dan sebagainya yang perlu kita ambil kira,” katanya ketika ditemui semasa program Sarawakku Sayang (SKS) Betong di sini, hari ini.
Beliau berkata, aspek keselamatan itu perlu mematuhi keperluan serta piawaian yang ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, penambahbaikan berkenaan bukan sahaja bertujuan memenuhi keperluan penganjuran perlawanan bola sepak, malah memastikan keseluruhan fasiliti stadium berada dalam keadaan kondusif dan selamat untuk digunakan.
“Kita tidak mahu kalau tiada apa-apa berlaku, orang terpaksa memanjat pagar dan sebagainya. Itu tidak selamat.
“Jadi, penambahbaikan ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan kita juga mengadakan audit keselamatan supaya stadium dapat digunakan dengan tahap keselamatan yang lebih tinggi,” ujarnya. – TVS

47 minutes ago
4








English (US) ·