ADVERTISE HERE
Oleh Chris Bishop
KUCHING, 5 Okt: Sarawak melangkah dengan jayanya dalam sukan muaythai meskipun dalam tempoh yang singkat, kata Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Jelas Abdul Karim, ia terbukti setelah Sarawak muncul juara keseluruhan bagi acara tersebut pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 baru-baru ini.
“Pada Sukma 2024, pasukan muaythai Sarawak memperoleh 5 pingat emas, 4 perak dan satu gangsa.
“Ini satu pencapaian yang sangat membanggakan dan terbaik buat Sarawak,” kata Abdul Karim.
Beliau berkata demikian di Perasmian Kejohanan Muaythai Piala Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak 2024 di Panggung Udara, Taman Budaya di sini, malam ini.
Selain itu tambah Abdul Karim, Sarawak juga memiliki jaguh antarabangsa seperti Mohamad Johan Ghazali atau Jojo.
Katanya, ini menunjukan bahawa anak-anak Sarawak dapat pergi jauh dalam sukan muaythai.
“Kita ingin melahirkan atlet muaythai yang bukan sekadar jaguh kampung, tetapi boleh menang di peringkat antarabangsa,” katanya.
Seramai 200 orang peserta dari pelbagai kelab tempatan dari seluruh negara termasuk 30 orang peserta dari enam buah negara iaitu Brunei Darussalam, Indonesia, Filipina, Thailand, Singapura dan Morocco yang mengambil bahagian dalam kejohanan kali ini.
Peserta ini akan berentap dalam pelbagai kategori perlawanan amatur, semi pro dan pro sepanjang 4 hari kejohanan bermula dari 3 hingga 6 Oktober ini.
Hadir sama Datuk Bandar Kuching Utara Hilmy Othman dan Presiden Persatuan Muaythai Sarawak Jumaat Ibrahim. — DayakDaily