ADVERTISE HERE
MIRI, 13 Sept: Sebuah syarikat Bumiputera Sarawak yang terlibat dalam industri minyak dan gas bakal disenaraikan di Bursa Malaysia, sekali gus mencerminkan potensi penglibatan lebih besar syarikat tempatan dalam sektor korporat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, perkembangan itu merupakan antara usaha memperkukuh agenda pembangunan ekonomi Bumiputera menerusi peningkatan penglibatan syarikat tempatan dalam sektor berimpak tinggi.
“Isnin ini ada sebuah syarikat yang terlibat dalam minyak dan gas, syarikat Bumiputera orang kita dari Miri, akan disenaraikan dalam Bursa Malaysia.
“Ini adalah agenda kita, agenda untuk membangunkan ekonomi Bumiputera dan inilah asas perjuangan kita untuk membangunkan golongan usahawan dan peniaga dalam kalangan syarikat Bumiputera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian konvensyen khas Parti Bersatu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Zon Utara di Stadium Tertutup Miri, di sini, hari ini.
Menurutnya, penglibatan syarikat Bumiputera dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana serta industri strategik perlu terus dipertingkatkan bagi membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat tempatan.
“Kita mahu mempertingkatkan lagi penglibatan masyarakat kita dalam bidang perusahaan kecil dan sederhana.
“Kalau kita mahu bekerjasama, kita bekerjasama dengan betul dan kita mahu meningkatkan penglibatan masyarakat kita dalam bidang ini,” katanya lagi.
Jelas beliau, usaha memperkukuh penyertaan Bumiputera dalam ekonomi merupakan sebahagian daripada agenda pembangunan Sarawak yang perlu diteruskan bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai masyarakat tempatan. – TVS

54 minutes ago
3








English (US) ·