Taman awam perlu jadi ruang penyatu komuniti – Dr Sim

9 hours ago 4
ADVERTISE HERE

KUCHING, 27 Sept: Taman awam perlu dilihat lebih daripada sekadar ruang rekreasi, sebaliknya dijadikan tempat untuk menyatukan masyarakat serta mengeratkan interaksi antara generasi.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, kemudahan di taman awam perlu disesuaikan dengan keperluan semasa masyarakat.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Bandar Kuching Selatan kerana memikirkan idea di luar kebiasaan seperti perpustakaan dan pusat komuniti baharu ini. Kemudahan tersebut membawa penduduk bersama. Usaha menyatukan masyarakat amat penting kerana pada masa ini, bukan sahaja Malaysia berdepan perpecahan, malah dunia juga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Pusat Komuniti dan Perpustakaan Taman Hui Sing pada Ahad.

Menurut Dr Sim, pembangunan taman awam tidak seharusnya hanya tertumpu kepada kemudahan permainan kanak-kanak, taman juga perlu menyediakan ruang yang boleh dimanfaatkan oleh pelbagai golongan masyarakat.

“Kemudahan seperti perpustakaan dan pusat komuniti boleh menjadi tempat penduduk bertemu, termasuk warga emas dan generasi muda.

“Kawasan lapang yang disediakan pemimpin terdahulu perlu terus dikekalkan sebagai ruang awam untuk kegunaan masyarakat. Saya mahu pusat komuniti di Taman Hui Sing digunakan secara aktif oleh penduduk,” ujarnya.

Menurutnya, penggunaan berterusan akan membentuk rasa memiliki dalam kalangan penduduk, sekali gus menggalakkan mereka bersama-sama menjaga kemudahan awam. -TVS

Read Entire Article