ADVERTISE HERE
KUCHING, 27 Sept: Taman Hui Sing kini menampilkan konsep baharu ruang awam dengan menggabungkan kemudahan rekreasi, pembelajaran dan interaksi komuniti dalam satu kawasan.
Inisiatif Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) itu melibatkan pembangunan pusat komuniti dan perpustakaan bernilai RM1.9 juta.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, pendekatan itu bertujuan menjadikan taman berkenaan ruang yang boleh dimanfaatkan oleh pelbagai generasi.
“Kami mahu mereka datang ke taman. Kanak-kanak boleh mendengar cerita, belajar dan membaca di sini. Surat khabar serta majalah pula akan disediakan untuk datuk dan nenek. Ketika mereka bersenam, kanak-kanak boleh berada di perpustakaan,” katanya pada Majlis Pelancaran Pusat Komuniti dan Perpustakaan Taman Hui Sing, hari ini.
Menurut Wee, pendekatan itu turut memberi peluang kepada penduduk setempat untuk menyampaikan pandangan mengenai reka bentuk dan konsep projek sebelum proses tender terbuka dilaksanakan.
Katanya, penglibatan penduduk penting bagi memastikan kemudahan yang disediakan benar-benar memenuhi keperluan komuniti setempat.
Dalam pada itu, MBKS turut bekerjasama dengan Little Bean Storyland bagi menjayakan aktiviti bercerita dan membaca di pusat berkenaan. -TVS

9 hours ago
9








English (US) ·