Tanjong Datu berpotensi jadi destinasi pemulihan pesakit luar Sarawak

8 hours ago 9
ADVERTISE HERE

LUNDU, 27 Sept: Tanjong Datu berpotensi menjadi antara destinasi pemulihan bagi pesakit dari luar Sarawak yang mendapatkan rawatan di negeri ini, selari dengan perkembangan sektor pelancongan kesihatan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pertumbuhan kemudahan kesihatan baharu di Kuching membuka peluang untuk mengembangkan konsep pelancongan kesihatan yang turut merangkumi tempoh pemulihan selepas rawatan.

“Pesakit dari luar Sarawak yang mendapatkan rawatan di Kuching boleh memanfaatkan kemudahan resort dan destinasi pelancongan untuk berehat serta menjalani tempoh pemulihan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Regatta Batang Kayan Lundu 2026 di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, Sarawak kini mempunyai beberapa hospital baharu termasuk kemudahan kesihatan swasta di Batu Lintang, Kota Samarahan dan Petra Jaya.

Jelas beliau, pertambahan kapasiti hospital turut membuka ruang kepada Sarawak untuk menarik lebih ramai pesakit dari luar negeri, termasuk dari luar negara.

Tambah Abang Johari, jarak penerbangan Kuching-Jakarta yang sekitar satu jam 20 minit juga menjadi kelebihan dalam mengembangkan sektor pelancongan kesihatan.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, kekuatan Sarawak dari aspek alam sekitar yang bersih turut menjadi aset penting dalam menyokong pembangunan pelancongan kesihatan.

Ujar beliau, usaha Sarawak menuju ekonomi hijau dengan mengurangkan karbon dan pencemaran akan membantu menyediakan persekitaran yang lebih baik untuk pelawat.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri turut menyatakan harapan supaya Tanjong Datu menjadi sebahagian daripada perkembangan pelancongan kesihatan di Sarawak.

Abang Johari berkata, pembangunan sektor berkenaan perlu dilaksanakan secara seimbang dengan pemeliharaan alam sekitar bagi memastikan manfaat ekonomi dapat berkembang secara mampan. -TVS

Read Entire Article