Teknologi penentu kemajuan Sarawak, bukan saiz populasi – Dr Sim

6 hours ago 4
ADVERTISE HERE

KUCHING, 28 Sept: Sarawak perlu memberi penekanan lebih besar penguasaan teknologi sebagai sebahagian daripada usaha membina negeri yang lebih maju.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, saiz populasi yang kecil tidak harus menjadi penghalang sekiranya negeri mampu memanfaatkan teknologi untuk memperkukuh pembangunan.

“Untuk melakukan sesuatu bagi Sarawak, perkara yang penting ialah teknologi, bukan populasi. Teknologi, itu yang saya mahu tekankan kepada semua,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Zeekr Kuching Pop-up Store di sini, hari ini.

Menurut Dr Sim, perkembangan pesat teknologi dunia, termasuk kemajuan dalam sektor mobiliti berteknologi tinggi seharusnya menjadi dorongan kepada Sarawak untuk memerhati, mempelajari dan membina keupayaan sendiri bagi memastikan negeri ini tidak ketinggalan dalam perubahan teknologi global.

“Setiap kali kita melihat perkembangan kenderaan elektrik, kita perlu bertanya bagaimana sesebuah negara boleh maju begitu pantas dalam bidang ini.

“Sebagai sebahagian daripada pembinaan Sarawak, kita juga perlu belajar daripada perkara tersebut. Jika tidak, bagaimana kita hendak terus maju?” ujarnya.

Penekanan terhadap teknologi dan inovasi itu selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, yang menetapkan aspirasi menjadikan Sarawak sebuah masyarakat maju dipacu data dan inovasi, selain memberi tumpuan kepada kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial serta kelestarian alam sekitar. – TVS

Read Entire Article