Terminal regasifikasi LNG pertama Sarawak dibangunkan di Kuching

7 hours ago 10
ADVERTISE HERE

KUCHING, 1 Okt: Terminal Gas Asli Cecair (LNG) Kuching yang bakal menjadi kemudahan regasifikasi LNG pertama Sarawak disasarkan mula menyalurkan gas menjelang akhir 2029.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), Dato Janin Girie, berkata pembangunan terminal itu adalah pelaburan strategik bagi memacu fasa seterusnya pembangunan ekonomi Sarawak.

“Dengan menyediakan infrastruktur penting untuk membawa gas asli ke Kuching, terminal LNG ini akan membantu membangunkan ekosistem yang mampu menarik pelaburan bernilai tinggi, merancakkan industri baharu dan membuka potensi Kuching sebagai pusat pertumbuhan industri baharu,” katanya dalam kenyataan PETROS, hari ini.

Beliau berkata, terminal itu akan menyediakan infrastruktur penting bagi memastikan bekalan gas asli dapat disalurkan ke Kuching, sekali gus menyokong pembangunan Hab Rendah Karbon Kuching.

PETROS memeterai Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) dengan Höegh Evi bagi membangunkan Terminal LNG Kuching sebagai sebahagian daripada pembangunan Hab Rendah Karbon Kuching.

Menurut PETROS, terminal berkenaan akan menyalurkan gas asli secara terus ke Kuching dan kawasan sekitarnya bagi memenuhi peningkatan permintaan tenaga serta memperkukuh keterjaminan tenaga Sarawak.

Di bawah perjanjian itu, PETROS dan Höegh Evi akan bersama-sama membangunkan, memiliki serta mengendalikan terminal berkenaan yang merangkumi unit terapung penyimpanan dan regasifikasi (FSRU), kemudahan tambatan, saluran paip dasar laut dan darat serta kemudahan penerimaan di darat.

PETROS berkata, selain menyokong penjanaan tenaga, terminal itu dirancang menyediakan perkhidmatan termasuk pengedaran LNG berskala kecil, pemuatan ke lori, pengisian bahan api kapal, penyimpanan dan pemuatan semula.

Kemudahan berkenaan juga membolehkan bekalan gas diperluaskan ke bahagian lain di Sarawak bagi memenuhi keperluan tenaga negeri yang terus berkembang.

“Projek ini menyasarkan bekalan gas pertama menjelang akhir 2029, dengan PETROS dan Höegh Evi terus menilai peluang untuk mempercepatkan pelaksanaannya selaras dengan peningkatan permintaan tenaga dan kesiapsiagaan projek,” menurut kenyataan itu.

Read Entire Article