ADVERTISE HERE
KUALA LUMPUR, 21 Sept: TM Stadium Nasional di Bukit Jalil disahkan sebagai lokasi acara penutupan Sukan SEA 2027, manakala lokasi penutupan ASEAN Para Games 2027 masih belum dimuktamadkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) dan Sukan Para ASEAN 2027 Datuk Abdul Rashid Yaakub berkata keputusan itu telah dimuktamadkan bagi Sukan SEA.
“Acara pembukaan pula kekal berlangsung di Kuching, Sarawak.
“Setakat ini (perancangan) berjalan dengan baik,” katanya pada sidang media bersama penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata penganjuran Sukan SEA 2027 kekal melibatkan empat kluster utama iaitu Kuala Lumpur, Sarawak, Johor dan Pulau Pinang, meskipun terdapat tiga acara sukan yang akan berlangsung di lokasi di luar kluster berkenaan.
Beliau berkata tiga lokasi itu membabitkan acara berbasikal di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan, pelayaran di Langkawi, Kedah serta acara endurance equestrian yang masih dalam perbincangan untuk diadakan di Terengganu.
“(Kalau) Velodrom Nasional itu memang sudah berada di Nilai, jadi kita tidak boleh anggap Negeri Sembilan sebagai kluster.
“Endurance equestrian pula, trek yang terbaik adalah di Terengganu kerana Terengganu memang menjalankan sekurang-kurangnya tiga acara antarabangsa setahun. Langkawi pula memang sangat sesuai untuk pelayaran,” katanya.
Beliau berkata pihaknya akan mengadakan lawatan ke Terengganu dalam masa terdekat bagi melihat tahap kesiapsiagaan venue untuk acara endurance equestrian berkenaan.
Abdul Rashid berkata setakat ini persiapan penganjuran Sukan SEA 2027 berjalan dengan giat, termasuk aspek teknikal, venue dan infrastruktur.
Katanya, di Sarawak terdapat 11 projek naik taraf atau venue baharu yang kini berada kira-kira tiga hingga empat peratus di hadapan jadual, dengan keseluruhan kemajuan mencapai hampir 40 peratus dan dijangka siap pada suku pertama tahun depan.
Beliau berkata sebanyak 43 jenis sukan telah ditetapkan bagi Sukan SEA 2027, manakala buku panduan teknikal dijangka diedarkan kepada negara peserta Asia Tenggara menjelang Oktober. -TVS

1 hour ago
3








English (US) ·