Penyertaan wanita dalam kepimpinan perlu melebihi 30 peratus – Nancy

1 day ago 11
ADVERTISE HERE

KUCHING, 21 Sept: Sasaran 30 peratus penyertaan wanita dalam barisan kepimpinan dan pembuat keputusan tidak seharusnya menjadi had, sebaliknya lebih ramai wanita perlu diberi peluang untuk terlibat dalam proses membuat keputusan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sasaran 30 peratus tidak mencukupi dan perlu dipertingkatkan, khususnya dalam bidang pembuat keputusan.

“Walaupun kita dalam kerajaan sudah sampai 30 peratus, tapi bagi saya belum cukup. Kita tidak sepatutnya menghadkan peratusan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program POWER & PRESENCE: Imej, Keterampilan dan Autoriti Pemimpin Wanita Malaysia 2026, di Auditorium PUSTAKA Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Menurut Nancy, lebih ramai wanita perlu diberi peluang untuk tampil sebagai pemimpin dan pembuat keputusan termasuk dalam bidang politik.

“Saya bukan bercakap tentang 30 peratus sahaja, kita mesti capai lebih dalam apa juga bidang yang ada, terutama sekali dalam bidang pembuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata, Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) merupakan antara platform yang dilaksanakan bagi membimbing dan menyediakan lebih ramai wanita untuk tampil dalam barisan kepimpinan.

Menurutnya, wanita perlu mempunyai perancangan, visi dan hala tuju yang jelas bagi membolehkan mereka melangkah lebih jauh dalam kepimpinan.

“Untuk melangkah lebih jauh, mesti mempunyai perancangan, mesti ada visi dan hala tuju yang jelas. Kita mesti tahu apa yang kita mahu dan tidak boleh hanya meniru orang lain,” katanya.

Nancy turut menggalakkan wanita berkongsi ilmu, membuka peluang dan membimbing wanita lain bagi membina barisan pelapis kepimpinan yang lebih kukuh pada masa hadapan.

Program POWER & PRESENCE 2026 berlangsung selama dua hari mulai hari ini hingga esok dengan menghimpunkan 50 wanita daripada pelbagai latar belakang, sektor pekerjaan dan daerah.

Program itu memberi tumpuan kepada pembangunan imej strategik, keterampilan eksekutif, komunikasi berautoriti, keyakinan, pengaruh serta keupayaan membuat keputusan sebagai persediaan wanita untuk memimpin.-TVS

Read Entire Article