‘Tuah’ bakal mengiringi LTdL 2026, semarak promosi Sukan SEA 2027

1 hour ago 2
ADVERTISE HERE

KUALA LUMPUR, 21 Sept: Maskot rasmi Sukan SEA dan ASEAN Para Games 2027, Tuah akan dibawa sepanjang perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 sebagai simbolik promosi temasya dwitahunan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) dan Sukan Para ASEAN 2027 Datuk Abdul Rashid Yaakub berkata, kerjasama itu memberi peluang kepada pihaknya memanfaatkan liputan luas LTdL untuk memperkenalkan Sukan SEA dan ASEAN Para Games 2027 kepada masyarakat tempatan serta penonton antarabangsa.

“Liputan LTdL ini sangat luas kerana merangkumi kawasan dalam negara dari utara hingga ke selatan walaupun tahun ini (perlumbaan) tidak melalui Sabah, Sarawak dan Pantai Timur (namun) jangkauan tetap sangat luas (yang meliputi banyak kawasan) kampung, sekolah dan segenap pelosok negara,” katanya pada sidang media bersama penganjur LTdL 2026 di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.

Beliau berkata laluan LTdL yang merangkumi kira-kira 1,200 kilometer (km) dari utara hingga ke selatan Semenanjung Malaysia memberi ruang luas untuk mempromosikan temasya berkenaan yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur, Sarawak, Johor dan Pulau Pinang pada tahun depan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi LTdL Emir Abdul Jalal berkata kerjasama berkenaan memberikan nilai promosi yang besar kepada Sukan SEA dan ASEAN Para Games 2027.

Perkata itu jelas beliau mengambil kira liputan penyiaran LTdL yang merangkumi Asia Tenggara serta penonton antarabangsa.

Sementara itu beliau memaklumkan, LTdL 2026 dijangka disiarkan oleh lebih 21 penyiar, sekali gus memberi peluang kepada penjenamaan Sukan SEA dan ASEAN Para Games 2027 untuk mencapai khalayak yang lebih luas.

“Kali ini, untuk liputan di Asia Tenggara dan Asia, penyiar rasmi ialah beIN Sports Asia dan rangkaian beIN Sports Asia turut meliputi hampir semua negara Sukan SEA yang akan menonton.

“Di Indonesia, ada satu saluran khusus yang akan membuat liputan, begitu juga di Thailand. Jadi, kalau kita mendapat liputan secukupnya di Asia Tenggara melalui beIN Sports Asia, saya rasa Sukan SEA dan ASEAN Para Games ini boleh pergi ke seluruh dunia sebenarnya melalui LTdL,” ujarnya lagi.

LTdL 2026 berlangsung dari 27 September hingga 4 Oktober ini, bermula dengan Peringkat 1 dari Shah Alam ke Kampar dan berakhir dengan Peringkat 8 dari Muar ke Putrajaya, membabitkan jarak keseluruhan 1,285.5 km. -TVS

Read Entire Article