ADVERTISE HERE
KUCHING, 19 Sept: Pembinaan Jambatan Batang Rambungan yang menjadi komponen utama jajaran pertama Projek Jalan Pesisir Sarawak kini mencapai kemajuan 73.27 peratus dan dijangka siap menjelang penghujung tahun ini.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, hari ini meninjau perkembangan pembinaan jambatan berkenaan ketika dalam perjalanan menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan kepada kenalan lamanya, Cr Raya Kechil di Kampung Rambungan, Lundu.
Astana Sarawak menerusi hantaran di Facebook memaklumkan Tun Wan Junaidi dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, menyambut baik penyediaan infrastruktur jalan raya dan jambatan sebagai kemudahan asas penting dalam meningkatkan kesalinghubungan.
“Kemudahan perhubungan yang baik bukan sahaja dapat memudahkan pergerakan rakyat malah berupaya mempertingkat akses kepada peluang ekonomi, pendidikan dan perkhidmatan, sekali gus memberi impak positif terhadap taraf hidup masyarakat setempat.
“Pembinaan Jambatan Rambungan turut mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh rangkaian perhubungan serta menyediakan kemudahan infrastruktur yang lebih baik demi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan merancakkan pembangunan di kawasan berkenaan,” menurut hantaran itu.
Tun Wan Junaidi berharap projek pembinaan berkenaan dapat berjalan lancar dan disiapkan mengikut perancangan supaya manfaatnya dapat dinikmati masyarakat setempat serta pengguna jalan raya. – TVS

45 minutes ago
3








English (US) ·