TVS, Universiti Curtin Malaysia perkukuh kerjasama hasilkan kandungan kreatif Zon Utara Sarawak

2 hours ago 8
ADVERTISE HERE

MIRI, 19 Sept: TV Sarawak (TVS) dan Universiti Curtin Malaysia merancang kerjasama strategik bagi menghasilkan kandungan berteraskan pelancongan, pengembaraan serta siri dokumentari yang memberi tumpuan kepada Zon Utara Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Media Group (SMG), Kushairi Abang berkata, kerjasama tersebut turut membuka ruang kepada mahasiswa universiti untuk terlibat secara langsung dalam penghasilan kandungan yang lebih dekat dengan kehendak penonton.

Menurut beliau, mahasiswa universiti merupakan antara kumpulan penonton penting TVS, sekali gus memberi peluang kepada pihaknya memahami minat dan keperluan mereka.

“Kita sedang merancang satu pelan kerjasama antara Curtin University dengan TVS di Zon Utara, khususnya dari segi kandungan berteraskan pelancongan, pengembaraan dan siri dokumentari yang diperlukan untuk kawasan utara.

“Penonton kita juga terdiri daripada pelajar universiti, mereka tahu apa yang mereka mahu lihat dan sebab itu kita bekerjasama dengan pelajar universiti untuk menghasilkan kandungan yang lebih baik serta memenuhi kehendak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas kunjungan hormat TV Sarawak (TVS) ke Universiti Curtin Malaysia, di sini, hari ini.

Sementara itu, Dekan Fakulti Perniagaan Universiti Curtin Malaysia, Professor Pauline Ho Poh Ling berkata, pihaknya melihat kerjasama tersebut sebagai peluang untuk memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih praktikal kepada mahasiswa.

Menurutnya, penglibatan mahasiswa dalam aktiviti berkaitan media juga dapat memberi mereka pengalaman secara langsung dalam industri, khususnya menerusi peluang yang berkaitan dengan Sukan SEA 2027.

“Kerjasama ini bukan sahaja memberikan pengalaman pembelajaran yang sangat baik kepada pelajar, tetapi pada masa sama memberi mereka pengalaman praktikal secara langsung, khususnya dalam bidang media.

“Paling menarik ialah Sukan SEA yang akan datang, kerana ia menyediakan platform yang sangat baik untuk pelajar kami terlibat dalam pelbagai aktiviti media berkaitan temasya sukan antarabangsa itu,” katanya.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Jabatan Media dan Komunikasi, Universiti Curtin Malaysia, Terry Justin Dit berkata, pihaknya mengalu-alukan kesediaan TVS untuk membantu memperkukuh hasil kerja kreatif mahasiswa menerusi kerjasama yang bakal dilaksanakan.

Menurut beliau, mahasiswa Universiti Curtin Malaysia juga mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk menyokong usaha TVS dalam memperluas jaringan kolaborasi dengan institusi pengajian tinggi.

“Kami berbesar hati mendengar bahawa pasukan TVS bersedia membantu kami dalam kerjasama ini, khususnya dalam menghasilkan karya kreatif mahasiswa.

“Saya juga gembira mengetahui bahawa pelajar kami sebenarnya mempunyai kemahiran dan keupayaan untuk membantu TVS dalam usaha kolaborasi ini,” katanya.

Kerjasama tersebut dijangka memberi tumpuan kepada pembangunan kandungan pelancongan dan pengembaraan, penghasilan siri dokumentari serta penglibatan mahasiswa dalam projek media dan komunikasi di Zon Utara Sarawak. – TVS

Read Entire Article