ADVERTISE HERE
KUCHING, 21 Sept: Kerangka undang-undang berkaitan hak cipta dan harta intelek di negara ini perlu disemak serta dirombak bagi mendepani perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) khususnya dalam industri kreatif dan media.
Cadangan itu dikemukakan susulan peruntukan Akta Hak Cipta sedia ada yang menetapkan sesuatu karya atau hasil ciptaan perlu dihasilkan sepenuhnya oleh manusia bagi melayakkannya mendapat perlindungan undang-undang serta kutipan royalti.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, penakrifan semula perundangan berkenaan penting memandangkan AI kini semakin digunakan dalam proses penghasilan pelbagai bentuk kandungan digital.
Menurutnya, isu pemilikan karya yang dihasilkan menggunakan AI termasuk pihak yang berhak memegang hak cipta dan menerima royalti perlu diperjelaskan menerusi kerangka perundangan lebih adaptif.
“Apabila sesuatu lagu, drama atau montaj video dihasilkan sebahagiannya menggunakan teknologi AI, contohnya 60 peratus AI, timbul persoalan sama ada ia boleh didaftarkan dan siapa yang berhak memegang hak cipta atau menerima royalti tersebut.
“Perundangan sedia ada menekankan ciptaan itu mesti daripada manusia. Namun, dengan kehadiran AI, definisi ini perlu diperjelaskan semula supaya pereka dan pencipta kandungan tetap dapat menikmati hak cipta hasil karya mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Media AI di TEGAS Digital Village, di sini, Isnin.
Dalam pada itu, Abdullah turut mengingatkan pengamal media dan pencipta kandungan supaya sentiasa peka terhadap risiko penyalahgunaan teknologi AI yang boleh menghasilkan kandungan berunsur fitnah, lucah atau maklumat palsu.
Menurutnya, pihak berkuasa mempunyai saluran perundangan termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Keselamatan Dalam Talian (Online Safety Act) serta peruntukan Kanun Keseksaan bagi menangani penyalahgunaan teknologi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan menghina simbol negara.
Sambil menyifatkan AI sebagai teknologi yang akan terus berkembang, beliau menyeru semua pihak supaya menguasai dan memanfaatkan teknologi berkenaan secara bertanggungjawab berlandaskan etika dan integriti.-TVS

1 day ago
11








English (US) ·