ADVERTISE HERE
BETONG, 25 Sept: Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) terus memperkasa wanita menerusi pelaksanaan pelbagai program kesedaran, pembangunan kemahiran dan pembinaan keupayaan diri bagi meningkatkan kesejahteraan wanita serta institusi keluarga di Sarawak.
Penolong Pengarah Kanan JWKS, Un Siew Yien berkata, antara tumpuan jabatan ialah program pembangunan institusi keluarga merangkumi kursus keibubapaan, pascaperkahwinan, pengurusan keluarga serta penjagaan asas keluarga.
Menurutnya, program sokongan sosial dan advokasi turut dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu yang memberi kesan kepada wanita dan keluarga, termasuk keganasan rumah tangga (KRT), penipuan dalam talian serta aspek keselamatan keluarga.
“Kita mempunyai program untuk meningkatkan kesedaran terhadap isu keganasan rumah tangga, termasuk tindakan yang perlu dilakukan sekiranya ia berlaku dan agensi yang boleh dirujuk,” katanya ketika ditemui sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) Betong.
Dalam usaha meningkatkan keupayaan ekonomi wanita, beliau berkata, JWKS turut menawarkan Women’s Skills Training (WST) yang merangkumi pelbagai latihan kemahiran termasuk jahitan, kulinari, urutan dan kecantikan.
Program berkenaan dilaksanakan bukan sahaja di ibu pejabat JWKS di Kuching, malah menerusi tujuh Pusat Jaga Diri dan Keluarga (PJDK) di beberapa lokasi di Sarawak.
Pelbagai modul latihan ditawarkan sepanjang tahun dengan penyertaan bagi setiap modul lazimnya terhad kepada sekitar 20 hingga 25 peserta.
Menurut Un, peserta tidak perlu menyediakan peralatan atau bahan sendiri kerana keperluan sepanjang latihan disediakan menerusi pembiayaan Kerajaan Sarawak.
“Kalau berminat, hanya perlu mendaftar. Peserta boleh mengikuti latihan jahitan dan selepas selesai, produk yang dihasilkan boleh dibawa pulang.
“Tidak perlu membawa apa-apa kerana semuanya dibiayai oleh Kerajaan Sarawak,” ujarnya.
Selain latihan kemahiran, JWKS turut melaksanakan program Women at Work dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta pihak yang menawarkan peluang pekerjaan.
Program itu memberi peluang kepada wanita yang ingin kembali atau memasuki pasaran pekerjaan untuk mendapatkan maklumat kerjaya, selain berpeluang menjalani temu duga secara terus dengan majikan yang terlibat.
Pada masa sama, bantuan turut disediakan kepada wanita yang menjadi ketua isi rumah dan menjalankan perniagaan bagi menjana pendapatan keluarga, termasuk mereka yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan dari rumah atau secara dalam talian, tertakluk kepada syarat ditetapkan.
JWKS turut menyediakan geran kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi melaksanakan program yang memberi manfaat kepada wanita dan keluarga, selain memperkukuh aspek kepimpinan wanita menerusi program pembangunan kepimpinan termasuk dalam kalangan generasi muda.
Orang ramai yang berminat menyertai program atau memohon bantuan berkenaan boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai syarat, jadual serta kaedah permohonan menerusi saluran rasmi JWKS.
Selain itu, orang ramai juga terutamanya di sekitar Betong boleh datang ke reruai JWKS di Sarawak Pavilion bertempat di Kompleks Sukan Betong untuk mengetahui lebih lanjut mengenai inisitiatif dan program yang disediakan.-TVS

2 hours ago
5








English (US) ·