Wanita warga emas putih mata rugi RM800,000 terpedaya pelaburan kripto tidak wujud

3 months ago 46
ADVERTISE HERE

KUCHING: Seorang wanita warga emas berusia awal 70-an berputih mata apabila mengalami kerugian berjumlah RM800,000 akibat terpedaya dengan pulangan pelaburan mata wang digital kripto tidak wujud di media sosial yang menjanjikan keuntungan USD 5 juta (RM23.65 juta).

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata (gambar) berkata bekas pekerja sebuah institusi kewangan di sini itu tertarik dengan pulangan pelaburan tersebut yang kononnya dikendalikan sebuah syarikat dikenali sebagai “Accerx” yang berpangkalan di Hong Kong melalui Facebook.

“Mangsa kemudian telah menekan satu pautan sebelum nombor telefon beliau dimasukkan ke dalam kumpulan whatsapp ‘X-4 Beacon pasaran saham secara automatik.

“Selepas itu, mangsa berurusan dengan seorang wanita yang kononnya wakil syarikat Accerx, suspek telah memberi penerangan mengenai pelaburan itu yang menjanjikan keuntungan 20 hingga 30 kali ganda,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mancha berkata mangsa bersetuju membeli beberapa ‘coin’ tersebut dalam nilai dolar Amerika Syarikat (USD) secara berperingkat dan telah diberikan ID bagi membolehkannya mengakses laman web www.accerxq.com untuk membuat pelaburan dan memantau keuntungan yang diperolehi.

“Mangsa melakukan empat transaksi pembayaran berjumlah lebih kurang RM800,000 melalui pemindahan wang secara dalam talian, mesin deposit tunai dan kaunter bank ke dua akaun bank atas nama syarikat tidak dikenali pada penghujung bulan ini.

“Mangsa hanya menyedari ditipu setelah gagal mengeluarkan wang keuntungan berjumlah lebih kurang USD 5 juta, malah suspek meminta mangsa membuat bayaran cukai berjumlah RM1.2 juta sekiranya ingin mengeluarkan wang pelaburan dan keuntungan tersebut,” katanya.

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaaan kerana menipu dengan cara mendorong supaya harta diserahkan dan jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjarakan tidak kurang setahun atau 10 tahun serta sebatan. -Bernama

Read Entire Article