Warga asing sembunyi di sebalik longgokan sampah elak ditangkap

54 minutes ago 4
ADVERTISE HERE

BINTULU, 23 Sept: Tindakan warga asing cuba mengelak daripada ditahan dengan bersembunyi di bawah rumah kongsi pekerja termasuk di sebalik longgokan sampah gagal apabila lokasi persembunyian mereka berjaya dikesan anggota operasi.

Operasi Bersepadu Unit Penguatkuasaan Imigresen Bintulu bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Bintulu itu dijalankan dari jam 10 pagi 21 September hingga 6 pagi semalam.

Operasi diketuai Ketua Imigresen Bahagian Bintulu, Presely Geoffrey dengan penglibatan 20 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak dan sembilan anggota Pasukan Polis Marin Wilayah Bintulu.

Menurut kenyataan JIM Sarawak, sebanyak enam lokasi sekitar bandar Bintulu diperiksa menerusi Ops Selera, Ops Mahir dan operasi bersama.

“Ketika pemeriksaan, beberapa warga asing bertindak melarikan diri sebelum cuba bersembunyi di lokasi sukar dikesan termasuk di ruang bawah rumah kongsi pekerja.

“Anggota operasi terpaksa menyusup ke ruang sempit dan memeriksa celah timbunan sampah bagi mengesan individu terbabit sebelum berjaya menahan mereka,” kata kenyataan itu.

Secara keseluruhan, 127 individu diperiksa dengan 84 warga asing ditahan, terdiri daripada 67 lelaki dewasa, 16 perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.

Daripada jumlah itu, 82 adalah warga Indonesia manakala dua lagi warga Filipina.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Bekenu untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa.-TVS

Read Entire Article