Zahid: Keseimbangan pembangunan luar bandar dan teknologi di Sarawak perlu dicontohi

9 months ago 359
ADVERTISE HERE

KOTA SAMARAHAN: Keseimbangan pembangunan luar bandar dan teknologi di Sarawak perlu dijadikan rujukan oleh negeri lain, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menerajui kerajaan negeri, turut mempamerkan tekad politik jitu untuk terus memperkasa kemajuan di Bumi Kenyalang.

“Ini kerana kestabilan politik yang ada di negeri ini dan Sarawak untung ada seorang Premier (Abang Johari) yang ada political will dan tekad politik tinggi untuk majukan Sarawak.

“Saya kagum dengan kemajuan dari segi pembangunan di Sarawak ini, tentunya ia turut diseimbangkan dengan pembangunan teknologi baharu seperti hidrogen dan solar... ini satu contoh terbaik yang harus diikuti negeri lain,” katanya ketika berucap di program Karnival Mini Usahawan Desa di Halaman Samarahan, hari ini.

Ahmad Zahid turut berkata sejumlah RM12.67 juta peruntukan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), telah diluluskan bagi program pengukuhan industri keusahawanan dan pembiayaan kewangan usahawan luar bandar di Sarawak, melibatkan 8,188 penerima.

Beliau berkata antara inisiatif berkenaan termasuk Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE) Tahun 2024 di bawah Majlis Amanah Rakyat, yang melibatkan bantuan kepada 39 orang penerima berjumlah RM6.5 juta.

“RISDA pula menerusi Program Keusahawanan Negeri Sarawak Tahun 2024 telah meluluskan bantuan kepada 537 orang penerima berjumlah RM3.8 juta.

“KEMAS Negeri Sarawak menerusi Program Pembangunan Komuniti dan Kemahiran, telah meluluskan bantuan kepada 7,606 orang penerima berjumlah RM1.4 juta,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah. -Bernama

Read Entire Article