Zeekr perkukuh keyakinan pelanggan Sarawak

7 hours ago 5
ADVERTISE HERE

KUCHING, 28 Sept: Pembukaan Zeekr Kuching Pop-up Store yang merupakan pop-up pertama jenama kenderaan elektrik (EV) premium di Borneo, menjadi langkah penting dalam memperkenalkan Zeekr kepada pasaran Sarawak dengan memberi tumpuan kepada pengalaman pelanggan serta perkhidmatan selepas jualan.

Ketua Pengedaran Ghee Hua Mobility, Ivory Law berkata, Sarawak mempunyai potensi besar dalam segmen EV premium, terutama dengan keterbukaan masyarakat negeri ini untuk menerima teknologi dan pengalaman baharu.

“Sebagai rakyat Sarawak, kita sentiasa bersedia untuk memulakan sesuatu yang baharu dan menyahut cabaran. Jadi, apabila segmen premium ini diperkenalkan di Sarawak, ia bukan sekadar membawa masuk sebuah jenama.

“Kami mahu membawanya ke sini, mengembangkannya dan pada masa sama membolehkan pelanggan, pengguna serta komuniti menikmati segmen kenderaan elektrik premium ini,” katanya ketika ditemui TVS selepas Majlis Perasmian Zeekr Kuching Pop-up Store di sini, hari ini.

Menurutnya, kepercayaan pelanggan tidak hanya dibina melalui produk, sebaliknya hubungan jangka panjang dan sokongan selepas jualan menjadi antara keutamaan Ghee Hua Mobility.

“Bagi pelanggan pula, kami percaya bahawa apabila mereka membeli kereta daripada kami, mereka bukan sekadar membeli sebuah kereta, tetapi turut memperoleh satu hubungan persahabatan dan perkhidmatan selepas jualan,” ujarnya.

Ivory menambah, pusat servis Zeekr di Kuching dijangka beroperasi dalam tahun ini, manakala perkhidmatan servis bergerak sudah disediakan bagi membantu pelanggan sementara menunggu kemudahan itu siap.

Sementara itu, Pengurus Besar Zeekr Malaysia, Eddy Lu berkata, pemilihan Sarawak sebagai langkah pertama Zeekr memperluaskan kehadirannya ke Malaysia Timur didorong oleh kerjasama dengan rakan tempatan yang berkongsi aspirasi sama dalam memberikan perkhidmatan dan pengalaman pemilikan terbaik kepada pelanggan.

“Kami mempunyai rakan kongsi yang sangat kukuh di sini, yang strategi perniagaannya serta komitmen dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan selaras dengan komitmen Zeekr untuk sentiasa menawarkan bukan sahaja sebuah kereta, tetapi juga pengalaman pemilikan yang sangat baik kepada semua pelanggan,” katanya.

Beliau berkata, Zeekr yang memasuki pasaran Malaysia sejak penghujung 2024 telah mencatat jualan hampir 6,000 unit di seluruh negara, sekali gus memberi keyakinan kepada jenama itu untuk mengembangkan lagi rangkaiannya.

“Saya berpendapat pembukaan pop-up store ini hanyalah satu permulaan, iaitu langkah kecil dalam perancangan jangka panjang kami untuk membangunkan kehadiran Zeekr di Sarawak dan juga Malaysia Timur,” jelasnya.

Menurut Eddy, Zeekr turut merancang untuk mewujudkan lebih banyak kemudahan termasuk bilik pameran dan pusat servis di Malaysia Timur, khususnya Sarawak, selain menjalin kerjasama dengan pihak berkaitan dalam penyediaan kemudahan pengecasan.

Langkah itu dijangka memudahkan penggunaan EV dan pada masa sama menyokong pengalaman pemilikan yang lebih menyeluruh kepada pelanggan Zeekr di Sarawak. – TVS

Read Entire Article