Zon Utara Sarawak berpotensi pacu pertumbuhan ekonomi baharu

1 hour ago 4
ADVERTISE HERE

MIRI, 13 Sept: Zon Utara Sarawak mempunyai pelbagai potensi untuk terus dibangunkan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negeri menerusi sektor tenaga, pertanian, pelancongan, sumber hutan dan perdagangan rentas sempadan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kedudukan strategik Zon Utara yang berjiran dengan Brunei Darussalam, Kalimantan dan Sabah membuka peluang lebih luas untuk memperkukuh hubungan perdagangan serta pembangunan bersama.

“Miri mempunyai kekuatan dalam perkhidmatan pelancongan, Bintulu dalam industri berasaskan minyak dan gas, manakala Baram mempunyai kekayaan alam dan keindahan budaya seperti Bario dan Ba’kelalan.

“Kita mempunyai kedudukan yang strategik kerana berjiran dengan Brunei Darussalam, Kalimantan dan Sabah. Ini memberi peluang kepada kita dari segi perdagangan rentas sempadan dan pembangunan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian konvensyen khas Parti Bersatu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Zon Utara di Stadium Tertutup Miri, di sini, hari ini.

Menurutnya, sektor pertanian turut mempunyai potensi besar untuk diperkasa bagi memastikan keterjaminan makanan negeri, termasuk menerusi projek perintis penanaman padi.

Katanya, kawasan seperti Lawas dan Limbang mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai antara kawasan pengeluaran makanan, selain memanfaatkan teknologi dan kaedah pertanian moden.

Tambah beliau, pembangunan sektor tenaga dan industri di Zon Utara terus diperkasa, khususnya di Bintulu yang mempunyai kekuatan dalam industri petrokimia, minyak dan gas serta aktiviti berkaitan ekonomi rendah karbon.

Katanya, pembangunan tersebut perlu disokong dengan perancangan wilayah yang mengambil kira kekuatan dan potensi setiap kawasan.
Beliau turut berkata penubuhan agensi pembangunan wilayah merupakan antara strategi penting kerajaan Sarawak bagi memastikan pembangunan dilaksanakan secara lebih tersusun dengan penglibatan masyarakat setempat. – TVS

Read Entire Article