ADVERTISE HERE
Oleh Chris Bishop
KUCHING, 10 Sep: Pengusaha van sekolah Windell Crocker Bill dari Bukit Berangan Height, Samarahan tetap tabah meneruskan perkhidmatan walaupun sudah 11 tahun melaksanakan tanggungjawab tersebut.
Windell, 53, yang menyediakan perkhidmatan van sekolah ke SK Wira Jaya dan SMK Wira Penrissen berkata, beliau mula memandu van dari rumah seawal jam 4.30 pagi pada setiap musim sekolah.
Katanya, van dengan kapasiti 12 penumpang akan bergerak dari satu perumahan ke satu perumahan untuk mengambil anak-anak dan memastikan mereka sampai ke sekolah tepat pada waktunya.
“Selepas bersara dari perkhidmatan tentera pada tahun 2013, saya terus membawa van sekolah untuk menambah pendapatan sehingga sekarang.
“Bagi saya, membawa anak-anak ke sekolah merupakan satu amanah dari ibu bapa dan tanggungjawabnya besar.
“Keselamatan anak-anak ini bermula dari pagi sehingga mereka balik ke rumah pada waktu tengahari atau petang adalah perkara paling penting,” kata Windell.
Beliau yang berasal dari Sri Aman memiliki dua buah van sekolah dimana sebuah lagi dipandu oleh isteri, Kacha Selai.
Kebiasaannya pada waktu pagi, tambah Windell, beliau akan melakukan dua perjalanan ke sekolah.
Manakala di waktu tengahari, isteri beliau akan membantu dengan memandu van yang satu lagi.
“Tugas dengan penuh tanggungjawab ini hanya akan selesai di waktu petang di mana kita akan membawa anak-anak pulang ke rumah masing-masing.
“Boleh dikatakan, kebanyakan masa dalam sehari dihabiskan dengan memandu dan berada di sekolah,” katanya.
Kini Windell menguruskan perjalanan seramai 70 anak-anak ke sekolah SK Wira Jaya dan SMK Wira Penrissen.
Sebelum ini beliau pernah menguruskan seramai 90 anak-anak.
Perkhidmatan beliau merangkumi kawasan perumahan di sekitar Bukit Berangan Height hingga ke kawasan perumahan Batu 9.
Antaranya ialah Kampung Empit, Taman Muara Tuang, Taman Stakan, Stakan Perdana, Taman Suria, Taman Green Wood dan Taman Batu 9.
Selain membawa anak-anak ke sekolah jelas Windell, ada juga ibu bapa yang menyerahkan wang saku sekolah anak mereka untuk diuruskan oleh beliau.
“Ini khususnya bagi anak-anak di sekolab tadika. Tanggungjawab saya ialah untuk membeli makanan dari wang saku yang diserahkan.
“Kepercayaan penuh dari ibu bapa ini harus dibalas dengan penuh tanggungjawab,” katanya.
Windell serta isteri memiliki tiga orang anak dimana anak sulung kini berusia 24 tahun dan sudah bekerja.
Manakala anak kedua adalah perempuan berusia 23 tahun yang kini sedang mengikuti program diploma di Kolej Segi.
Anak bongsu pula lelaki dan berada di Tingkatan 6 SMK Wira Penrissen. — DayakDaily