ADVERTISE HERE
KUCHING, 14 Mei: Seramai 534 atau 43.8 peratus daripada 1,218 penerima Bantuan Ketua Isi Rumah Wanita Sarawak (KIRWaS) berjaya menjana pendapatan melebihi RM1,200 sebulan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ia dijana dalam tempoh hanya tiga bulan selepas penerimaan bantuan.
“Keutamaan akan terus diberikan kepada usahawan wanita Sarawak sejak diperkenalkan pada 2022.
“Ia terutamanya golongan ibu tunggal dalam mewujudkan peluang penjanaan pendapatan melalui Bantuan KIRWaS,” katanya dalam ucapan penggulungan kementerian pada Persidangan Dewan Undangan Sarawak (DUS) hari ini.
Menyentuh Geran Modal Pemerkasaan Wanita Sarawak pula, Fatimah memaklumkan sebanyak RM2.5 juta yang diperuntukkan pada tahun lepas.
Katanya, getan dimanfaatkan oleh 1,274 penerima yang telah berhasil meningkatkan pendapatan mereka sebanyak 23.29 peratus daripada pendapatan asal.
“Berdasarkan penilaian permohonan yang telah diterima, masih ada seramai 883 usahawan yang layak.
“Ini memerlukan peruntukan tambahan berjumlah RM1.8 juta,” kata Fatimah. — DayakDaily