663 KMKK Betong terus perkukuh peranan sebagai penghubung kerajaan, rakyat

10 hours ago 9
ADVERTISE HERE

BETONG, 26 Sept: Seramai 663 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di Bahagian Betong terus memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dengan masyarakat di peringkat akar umbi.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, jumlah itu terdiri daripada 50 ketua masyarakat dan 613 ketua kaum.

Menurutnya, peranan KMKK bukan sahaja tertumpu kepada penyampaian maklumat kerajaan, malah merangkumi aspek kebajikan, keselamatan, pengurusan bencana, tanah, adat, pembangunan infrastruktur serta penyelarasan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“KMKK berada dekat dengan rakyat, memahami keadaan masyarakat dan menjadi antara penghubung utama kerajaan dengan komuniti di peringkat akar umbi.

“Dalam satu-satu masa, KMKK berhadapan dengan pelbagai isu berkaitan kebajikan, keselamatan, pembangunan, tanah, bencana, adat dan penyampaian maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Tengah Hari Yang Amat Berhormat Premier Sarawak bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Bahagian Betong, di sini, hari ini.

Hadir sama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Emas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Razi menjelaskan, peranan KMKK amat penting dalam pengurusan bencana termasuk mengenal pasti risiko, membantu pengurusan pusat pemindahan sementara (PPS), menyediakan senarai mangsa, mengagihkan bantuan serta melaporkan kerosakan kemudahan awam.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Kerajaan Sarawak telah meluluskan kenaikan elaun KMKK sebanyak RM400 sebulan berkuat kuasa 1 Januari tahun ini.

Dengan pelarasan itu, elaun temenggong meningkat daripada RM1,600 kepada RM2,000, pemanca daripada RM1,300 kepada RM1,700, penghulu daripada RM1,100 kepada RM1,500 dan ketua kaum daripada RM900 kepada RM1,300 sebulan.

Katanya, pelarasan tersebut mencerminkan penghargaan kerajaan terhadap tanggungjawab, komitmen dan khidmat bakti KMKK dalam membantu mengurus pelbagai urusan masyarakat.

Razi turut memaklumkan daripada 50 Ketua Masyarakat di Bahagian Betong, tujuh daripadanya merupakan pemanca, masing-masing tiga di Daerah Betong, tiga di Saratok dan seorang di Pusa.

Bagaimanapun katanya, Daerah Kabong masih belum mempunyai jawatan Pemanca.

Sehubungan itu, beliau memohon Kerajaan Sarawak mempertimbangkan pewujudan jawatan KMKK baharu di kawasan yang bersesuaian termasuk jawatan pemanca di daerah-daerah di Bahagian Betong.

Menurutnya, penyesuaian struktur dan penambahan jawatan berkenaan penting bagi memastikan liputan kepimpinan masyarakat selari dengan pertambahan penduduk, perkembangan kawasan penempatan dan keperluan semasa rakyat.

Beliau berkata, kerjasama erat antara kerajaan, pentadbiran Bahagian Betong dan KMKK perlu terus diperkukuh bagi memastikan agenda pembangunan Sarawak benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat di peringkat akar umbi. – TVS

Read Entire Article