AIM25: Lima anugerah suntik semangat MimiFlyy terus berkarya

11 minutes ago 2
ADVERTISE HERE

KUCHING, 27 Sept: Penyanyi MimiFlyy membuktikan perjalanan seninya kembali mendapat pengiktirafan apabila merangkul lima anugerah pada Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25), di sini, hari ini.

Kejayaan itu menjadi pencapaian bermakna buat MimiFlyy yang kembali aktif dalam industri muzik pada penghujung 2024 selepas empat tahun menyepi tanpa menghasilkan sebarang karya.

Menurutnya, tempoh tersebut memberi kesan besar terhadap dirinya kerana berkarya merupakan sebahagian penting dalam kehidupan dan identiti seninya.

“Mimi kembali pada hujung 2024 selepas empat tahun Mimi diam dan tidak berkarya langsung.

“Mimi sangat sengsara (miserable) masa empat tahun itu, Mimi hilang diri apabila Mimi tak berkarya,” katanya ketika sidang media AIM25 di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengiktirafan berkenaan membuka lebih banyak peluang untuknya terus menghasilkan karya berdasarkan identiti muzik sendiri.

Pada AIM25, MimiFlyy membawa pulang lima anugerah menerusi Temberang bagi kategori Video Muzik Terbaik dan Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik.

Beliau turut memenangi Lagu Perayaan Terbaik dan Lagu Dengan Hasilan Tertinggi di TikTok menerusi Serumpun, selain Susunan Muzik Terbaik bagi lagu Nara.

MimiFlyy turut merakamkan penghargaan kepada pasukan kecilnya, keluarga serta ibunya yang sentiasa memberikan sokongan dan mendoakan perjalanan seninya.

Katanya, kejayaan itu mengukuhkan lagi keyakinannya untuk terus berkarya serta mempertahankan identiti muzik yang dibawanya dalam industri muzik tanah air.-TVS

Read Entire Article