AIM25: Siti Nurhaliza rangkul Lagu Terbaik, Aisha Retno ungguli Album Terbaik

16 minutes ago 5
ADVERTISE HERE

KUCHING, 27 Sept: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, mengungguli kategori Lagu Terbaik menerusi Pesanan Buat Diri, manakala penyanyi Aisha Retno merangkul Album Terbaik menerusi RE.HAB pada Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25).

Kemenangan Siti Nurhaliza menerusi Pesanan Buat Diri menyaksikan beliau menerima pengiktirafan bagi karya yang menampilkan lirik nukilan Datuk Habsah Hassan.

Lagu berkenaan diterbitkan oleh SN Legacy, Siti Nurhaliza Productions dan Universal Music Malaysia.

Sementara itu, album RE.HAB membawa kejayaan buat Aisha Retno apabila dinobatkan sebagai Album Terbaik pada malam kemuncak anugerah berprestij itu.

Album berkenaan diterbitkan oleh Jaydi dan Seatravel, dengan penglibatan SN Legacy, Siti Nurhaliza Productions serta Universal Music Malaysia.

Pengiktirafan itu mengiktiraf hasil karya dan penghasilan album dalam industri muzik tempatan sepanjang tempoh penilaian AIM25.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Komunikasi menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) meningkatkan peruntukan bagi AIM25 kepada RM950,000 berbanding RM700,000 pada AIM24.

Sebanyak 15 kategori akan menerima geran DKK berjumlah RM50,000 setiap satu, merangkumi Lagu Terbaik, Artis Baharu Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Etnik Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, Lagu Cina Tempatan Terbaik, Lagu India Tempatan Terbaik, Video Muzik Terbaik, Lagu Electronic Pop/Dance Terbaik, Lagu Rock Terbaik, Lagu Hip Hop Terbaik, Lagu Pop Terbaik dan Lagu Runut Bunyi (OST) Terbaik dalam Filem/Drama.

Pemenang kategori Album Terbaik Tahun Ini pula bakal menerima geran DKK berjumlah RM200,000.-TVS

Read Entire Article