AIM25: Ratu Rock Malaysia Ella terima Anugerah Sri Wirama

1 hour ago 6
ADVERTISE HERE

KUCHING, 27 Sept: Ratu Rock Malaysia, Ella, menyifatkan penerimaan Anugerah Sri Wirama pada Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) sebagai penghargaan bermakna selepas melalui perjalanan panjang dalam industri muzik tanah air.

Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 59, berkata pengiktirafan itu mengundang rasa terharu dan syukur apabila segala usaha serta dedikasinya sepanjang bergelar anak seni mendapat penghargaan.

Menurutnya, setiap kejayaan yang diraih sepanjang perjalanan kerjaya sentiasa disambut dengan penuh kesyukuran, malah pengalaman yang dilalui menjadi sebahagian daripada perjalanan seninya.

“Saya rasa sangat terharu dan bersyukur. Saya berterima kasih kerana segala kerja yang telah berjaya untuk saya selama ini mendapat penghargaan,” katanya pada sidang media AIM25 di sini, hari ini.

Mengulas perjalanan seninya, Ella berkata kecintaan terhadap muzik menjadi pendorong utama untuk terus berkarya dan menikmati setiap pengalaman dalam industri.

Katanya, melakukan sesuatu yang diminati membolehkan seseorang menjalani kerjaya dengan lebih gembira tanpa menganggapnya sebagai beban.

“Kalau kita minat dengan apa yang kita buat, kita gembira dan kita tidak rasa ia membebankan kerana kita rasa ia sesuatu yang kita suka.

“Mungkin kalau kita ada minat dalam perkara yang kita percaya, kita boleh pergi dengan lebih bersemangat,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap pengiktirafan yang diterima, yang disifatkan sebagai satu lagi detik bermakna dalam perjalanan seninya.

Anugerah Sri Wirama diberikan kepada tokoh muzik dan industri rakaman Malaysia atas sumbangan serta perjalanan panjang mereka dalam industri.

Pengiktirafan itu sekali gus mengiktiraf sumbangan Ella yang terus dikenang sebagai antara figura penting dalam sejarah muzik rock tempatan.-TVS

Read Entire Article