ADVERTISE HERE
Oleh DayakDaily
KUCHING, 15 Okt: Sebanyak 74 rumah ibadat di Sarawak menerima geran berjumlah keseluruhan RM20.66 juta dalam fasa ketiga Bantuan Dana Rumah Ibadat Agama-Agama Lain hari ini.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, setakat ini terdapat baki peruntukan sebanyak RM9.576 juta.
Katanya, ia adalah daripada jumlah keseluruhan RM110 juta yang telah disediakan kepada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) bagi tahun ini.
Dalam pada itu, Uggah turut menegaskan bahawa terdapat penerima dari satu hingga dua tahun lepas yang masih belum menggunakan dana yang diberikan.
Ujar beliau, dana yang disalurkan bertujuan untuk membantu rumah ibadat menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi, dan bukannya untuk disimpan sebagai simpanan jangka panjang.
“Kami masih mempunyai beberapa penerima dari satu hingga dua tahun lepas yang belum menggunakan dana ini.
“Jadi kami mempunyai polisi di mana jika dana yang diberi awal tidak digunakan, maka kami tidak boleh memberikan lagi,” kata Uggah.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Cek Bantuan Dana Rumah Ibadat Agama-Agama Lain Fasa 3-2024 di sini, hari ini.
Tambah Uggah, bantuan bukan tempat untuk mencari ‘fixed deposit’ bagi rumah-rumah ibadat, tetapi dana ini adalah untuk menyelesaikan masalah.
Beliau menekankan pentingnya rumah ibadat menggunakan bantuan ini secara efisien demi kepentingan komuniti masing-masing.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian. — DayakDaily