ADVERTISE HERE
KUCHING, 23 Sept: Sarawak merekodkan 1,587 acara perniagaan sejak 2006 yang menjana anggaran impak ekonomi RM4.95 bilion serta menarik lebih 500,000 perwakilan ke negeri ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pencapaian itu mencerminkan pertumbuhan industri acara perniagaan negeri yang semakin kukuh serta keyakinan antarabangsa terhadap Sarawak sebagai destinasi acara perniagaan.
“Angka-angka ini menceritakan kisah yang lebih besar. Ia mewakili 20 tahun pertumbuhan industri, keupayaan tempatan yang semakin meningkat dan keyakinan antarabangsa yang semakin tinggi terhadap Sarawak.,” katanya pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun ke-20 Business Events Sarawak di sini, hari ini.
Menurutnya, sepanjang tempoh berkenaan, Sarawak turut merekodkan 1.9 juta hari perwakilan menerusi acara perniagaan yang dianjurkan di negeri ini.
Katanya, pencapaian penting turut dicapai pada 2016 apabila Sarawak menjadi tuan rumah Kongres Persatuan Kongres dan Konvensyen Antarabangsa (ICCA) ke-55 yang menghimpunkan lebih 1,000 perwakilan dari 60 negara.
Pada 2019, Biro Konvensyen Sarawak dijenamakan semula sebagai Business Events Sarawak, mencerminkan aspirasi lebih luas terhadap peranan acara perniagaan dalam pembangunan ekonomi dan sosial negeri.
Abdul Karim berkata, pendekatan itu diperkukuh selepas pandemik COVID-19 menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), dengan acara perniagaan diberi ruang untuk menyumbang kepada agenda pembangunan Sarawak yang lebih makmur, inklusif dan mampan.
“Sarawak memilih untuk bergerak lebih awal dengan menjadikan legasi sebagai teras model acara perniagaan, sekali gus meletakkan Sarawak antara destinasi terawal yang mengejar hala tuju ini secara strategik,” katanya.
Tambah beliau, pada 2025, Sarawak mencatat tahun terbaik dalam sejarah acara perniagaan dengan memperoleh 160 acara yang menjana anggaran impak ekonomi RM262.8 juta.
Beliau berkata, inisiatif seperti AI.LEGACY, iaitu Sistem Pengurusan Impak Pintar Acara Perniagaan, serta LEGACY360 turut diwujudkan bagi mengukur, memahami dan memaksimumkan kesan yang terhasil daripada acara perniagaan.
Menurutnya, pendekatan itu membolehkan Sarawak melihat bukan sahaja jumlah acara yang dianjurkan, tetapi turut menilai perubahan yang dihasilkan, pihak yang menerima manfaat serta legasi yang ditinggalkan.
Abdul Karim berkata, Sarawak kini bersedia melangkah ke fasa seterusnya dengan memanfaatkan data, maklumat dan kerjasama bagi membimbing keputusan yang lebih baik, mengukuhkan industri tempatan serta menyokong pertumbuhan masa depan negeri. -TVS

4 hours ago
3








English (US) ·