ADVERTISE HERE
Oleh Chris Bishop
KUCHING, 26 Ogos: Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah beri amaran keras kepada persatuan sukan yang gagal memperolehi sebarang pingat mahupun peningkatan prestasi semasa Sukan Malaysia 2024 baru-baru ini.
Katanya, walaupun Sarawak muncul sebagai juara keseluruhan post mortem tetap akan segera dilakukan.
“Sudah tentu kita akan melakukan post mortem, kita tiada agenda peribadi dan ia dilakukan demi negeri.
“Kita ingin memperbaiki sukan secara keseluruhan dan pada Sukma kali ini ada badan sukan yang tidak mencapai sasaran,” katanya pada satu sidang media di Kuching hari ini.
Tambah Abdul Karim, di setiap Sukma badan-badan sukan akan menetapkan sasaran dengan ada yang menunjukan prestasi cemerlang dan ada juga gagal mendapat sebarang pingat.
Yang cemerlang seperti acara terjun katanya, menetapkan sasaran 3 emas tetapi memperoleh 9 emas.
“Yang gagal pula seperti persatuan basikal, belum mendapat emas lagi, berapa tahun sudah.
“Sekurang-kurangnya karate sudah ada 1 emas, perahu layar dapat 2 emas.
“Masih ada badan sukan yang gagal dapat pingat hingga sekarang.
“Persatuan seperti ini kadang-kadang saya rasa tidak dapat diuruskan lagi dan tiba masanya untuk pergi,” jelas Abdul Karim. — DayakDaily