ADVERTISE HERE
KUCHING, 16 Sept: Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyeru rakyat negeri ini terus menyemarakkan budaya kecemerlangan dalam setiap bidang bagi membangunkan Sarawak yang maju dan makmur.
Beliau berkata, masa depan Ibu Pertiwi bergantung kepada keupayaan anak Sarawak menghasilkan pembangunan dan mencipta pembaharuan dalam pelbagai bidang, bukan hanya bergantung kepada komoditi yang diwarisi.
“Sama ada dalam pendidikan, penyelidikan, sukan, kesenian mahupun perkhidmatan awam, kita hendaklah sentiasa berusaha mencapai standard terbaik di peringkat antarabangsa,” katanya dalam perutusan sempena Sambutan Hari Malaysia 2026.
Tun Wan Junaidi berkata, beliau mahu melihat lebih ramai anak muda Sarawak tampil sebagai individu berilmu tinggi dan berupaya mencipta peluang pekerjaan baharu.
Menurutnya, golongan itu termasuk saintis, jurutera, pengasas syarikat teknologi, penyelidik, usahawan sosial dan pemimpin masyarakat.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kekayaan sesebuah negeri tidak hanya diukur berdasarkan sumber ekonomi, sebaliknya keupayaan rakyat membina ilmu, inovasi dan akhlak.
“Negeri yang berjaya ialah negeri yang melahirkan warga yang berfikiran terbuka, berintegriti dan sentiasa bersedia menimba ilmu,” ujarnya.
Beliau turut menyeru rakyat Sarawak menjadi masyarakat yang celik fakta serta bijaksana dalam menilai dan menapis sesuatu maklumat.-TVS

56 minutes ago
6








English (US) ·