Anwar tak mampu tolak sokongan Ahli Parlimen Bersatu atas dasar prinsip, kata penganalisis

11 months ago 77
ADVERTISE HERE

Perdana menteri perlu mendapatkan sokongan sebanyak mungkin dan mempertimbangkan semua sumber, menurut James Chin.

Seorang penganalisis berpandangan, sokongan yang dinyatakan sekumpulan Ahli Parlimen Bersatu baru-baru ini membuatkan Anwar Ibrahim kelihatan lebih kuat dari segi politik. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak mampu untuk menolak sokongan empat Ahli Parlimen Bersatu terhadap kerajaannya, kata James Chin.

Penganalisis politik dari Universiti Tasmania itu berkata, dalam keadaan yang ideal, Anwar berkemungkinan besar dapat menolak sokongan Ahli Parlimen pembangkang atas dasar prinsip.

Bagaimanapun, memandangkan kerajaan gabungannya terdiri daripada banyak parti di luar Pakatan Harapan (PH), beliau perlu mendapatkan sokongan sebanyak mungkin dan mempertimbangkan semua sumber, kata Chin.

Dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, empat Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada kerajaan dalam usaha mendapatkan peruntukan bagi kawasan masing-masing.

Kerajaan perpaduan semasa mendapat sokongan 147 anggota Dewan Rakyat, iaitu 25 lebih daripada majoriti mudah. Bagaimanapun, PH yang diketuai oleh Anwar hanya memegang 81 kerusi.

Anggota lain gabungan pemerintah termasuk Barisan Nasional (30 kerusi); Gabungan Parti Sarawak (23); Gabungan Rakyat Sabah (6); dan Warisan (3). Kerajaan turut mendapat sokongan 8 Ahli Parlimen lain, termasuk empat daripada Bersatu baru-baru ini.

Menurut Chin, sokongan Ahli Parlimen Bersatu “membuatkan (Anwar) kelihatan lebih kuat dari segi politik, justeru beliau mungkin mempertimbangkan kemungkinan lebih ramai Ahli Parlimen akan tampil menyatakan sokongan terhadapnya, walaupun dengan wujudnya undang-undang antilompat”.

Sebagai respons kepada tindakan empat Ahli Parlimen itu, bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mempersoalkan apa yang telah berlaku kepada reformasi yang pernah dijanjikan oleh Anwar. Beliau berpendapat, pemberian peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang menyatakan sokongan kepada perdana menteri bercanggah dengan janji-janji reformasi tersebut.

Seorang lagi penganalisis politik, Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia bersetuju bahawa langkah Anwar menerima sokongan Ahli Parlimen pembangkang boleh dianggap bertentangan dengan agendanya sendiri.

Bagaimanapun, Anwar tidak menjangkakan penyokongnya akan kisah mengenai perkara itu, sebaliknya digalakkan oleh sokongan yang semakin mengukuh terhadapnya di Dewan Rakyat, kata Mazlan.

Beliau berkata, Anwar harus menjelaskan bahawa keputusan yang dibuat oleh empat Ahli Parlimen itu dibuat sepenuhnya oleh mereka sendiri, memandangkan kerajaannya mempunyai majoriti yang diperlukan tanpa perlu meyakinkan pihak lawan untuk belot.

“Anwar perlu menjelaskan perkara itu dan mengesahkan bahawa beliau tidak pernah meyakinkan Ahli-ahli Parlimen Bersatu ini untuk menyokongnya kerana beliau sudah mempunyai sokongan yang mencukupi di Parlimen,” kata Mazlan.

Tags

Ahli ParlimenBersatuJames ChinKerajaan PerpaduanKhairy Jamaluddinlompat partimajoritiPerdana MenteriperuntukanPHreformasisokongan

Related news

Read Entire Article