ADVERTISE HERE
KUCHING, 24 Sept: Semua sekolah rendah dan sekolah menengah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian ditutup sementara hari ini susulan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang direkodkan setakat jam 10 malam tadi.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak memaklumkan, susulan penutupan itu, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan mengikut garis panduan pengurusan pengajaran dan pembelajaran akibat bencana.
“Bagi sekolah yang terletak berhampiran daerah dengan bacaan IPU melebihi 200, guru besar dan pengetua boleh mempertimbangkan pelaksanaan PdPR dengan mengambil kira faktor kesihatan dan keselamatan murid.
“Sekiranya trend bacaan IPU menunjukkan penurunan kepada paras bawah 200, pihak sekolah boleh membuat persediaan untuk pembukaan semula sekolah,” kata kenyataan itu.
JPN Sarawak turut mengingatkan pihak sekolah supaya mematuhi prosedur operasi standard berkaitan pengurusan sekolah ketika keadaan berjerebu serta mengutamakan kesihatan dan keselamatan murid dan guru.
Semua institusi pendidikan di bawah seliaan JPN Sarawak juga dinasihatkan supaya sentiasa memantau bacaan IPU melalui Portal Air Pollutant Index Management System (APIMS) Jabatan Alam Sekitar.
Pihak institusi pendidikan turut diminta mematuhi saranan Kementerian Kesihatan Malaysia dari semasa ke semasa bagi memastikan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan murid serta seluruh warga pendidikan sentiasa terpelihara.-TVS

58 minutes ago
4








English (US) ·