ADVERTISE HERE
KUCHING, 14 Sept: Bonnie Bunyau Gustin dedikasikan pingat emas Sukan Paralimpik Paris 2024 kepada keluarga.
Katanya, keluarga khususnya bapa, Gustin Jenang sentiasa memberi sokongan di sepanjang penglibatan beliau di sukan power lifting.
“Bapa berkorban masa sejak saya berusia 13 tahun dengan berulang-alik dari Serian menghantar saya ke pusat latihan di Kuching.
“Pingat emas kedua dari Sukan Paralimpik ini saya dedikasikan kepada keluarga yang sentiasa memberi sokongan,” katanya.
Bonnie ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) sekitar jam 12 tengahari tadi.
Suasana di KIA bergema dengan nyanyian semangat dan tepukan gemuruh para atlet Para Sukma Sarawak dan peminat yang menyambut ketibaan Bonnie.
Sementara itu Bonnie berkata, beliau akan meluangkan masa bersama keluarga di Serian setelah lebih 3 bulan tidak pulang.
“Saya akan terus balik ke Serian hari ini dan meluangkan masa dengan keluarga.
“Saya juga akan memberikan masa untuk merawat kecederaan sebelum kembali fokus pada latihan, seterusnya ialah kejuaraan dunia di Mesir,” kata Bonnie.
Pada Sukan Paralimpik Paris 2024, Bonnie memenangi pingat emas power lifting kategori 72 kilogram (kg).
Beliau juga berjaya mencatatkan rekod dunia baharu demgan angkatan seberat 232 kg.
Hadir sama di KIA Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah. — DayakDaily