Cabutan WOW! Simpan SSPn 2024 janjikan hadiah lebih lumayan bernilai lebih RM1.3 juta

3 months ago 101
ADVERTISE HERE

KUALA LUMPUR: Pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) berpeluang memenangi hadiah yang lebih lumayan bernilai lebih RM1.3 juta menerusi Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 sebagai usaha membudayakan amalan menabung dalam kalangan masyarakat.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Norliza Abdul Rahim berkata kempen yang bermula dari 1 Jan dan berakhir 31 Dis tahun ini membawa kelainan dari tahun sebelumnya dengan menampilkan tiga kategori iaitu Silver, Gold dan Platinum bagi cabutan tahunan.

“Tahun ini juga buat julung kalinya, Cabutan Siri WOW! Kasih diperkenalkan bagi menghargai insan-insan bermakna dalam kehidupan antaranya sambutan Hari Ibu, Hari Bapa dan Hari Guru,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 di sini hari ini.

Cabutan siri berkenaan meliputi WOW! Gong Xi Ang Pow dengan tempoh kempen bemula 1 Jan hingga 29 Feb, WOW! Syoknya Raya (1 Mac hingga 30 April), WOW! Kasih (1 Mei hingga 30 Jun), WOW! Merdeka (1 Julai hingga 31 Ogos) dan WOW! Superheroes (1 Sept hingga 31 Okt).

Untuk menyertai kempen berkenaan pendeposit hanya perlu membuka akaun atau membuat penambahan simpanan dalam tempoh kempen.

Setiap simpanan bersih RM50 bagi Simpan SSPN Prime akan mendapat satu cabutan manakala bagi setiap simpanan bersih RM50 bagi Simpan SSPN Plus layak mendapat dua cabutan secara automatik.

Norliza berkata kempen kali ini turut memberi kelebihan kepada pengguna aplikasi myPTPTN yang akan mendapat bilangan cabutan berganda.

“Pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat simpanan bersih RM50 melalui myPTPTN atau melalui potongan gaji atau debit terus, akan mendapat lima cabutan.

Manakala pendeposit Simpan SSPN Plus yang membuat simpanan bersih RM50 melalui myPTPTN atau melalui potongan gaji atau debit terus, akan mendapat 10 cabutan,” katanya.

Antara hadiah yang ditawarkan bagi pemenang ialah Proton S70 Flagship X, Proton X50 Flagship, Proton X90 Flagship, skuter Yamaha NVX 155cc dan Yamaha XMAX 250cc dan motosikal berkuasa tinggi Yamaha MT09.

Majlis itu pada hari ini turut menyaksikan amalan menabung membawa rezeki kepada tiga pendeposit Simpan SSPN apabila berjaya muncul sebagai pemenang menerusi Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2023.

Muncul sebagai pemenang utama membawa pulang wang tunai berjumlah RM150,000, Mohd Azamuddin Ariffin,41, berkata keputusan untuk membuka akaun pada 2017 lepas adalah pilihan yang tepat kerana selain menabung untuk masa depan tiga orang anaknya, simpanan patuh syariah itu juga memberikan pelepasan taksiran cukai dan dividen yang sudah pasti sedikit sebanyak mampu membantu ekonominya keluarganya.

“Saya rasa untuk situasi sekarang ini tak susah pun untuk menyimpan sebab sekarang ada pelbagai kaedah yang kita boleh gunakan, contohnya melalui platform dalam talian, laman sesawang, aplikasi selain daripada kaunter. Saya sarankan ibu bapa mengambil peluang ini untuk menyimpan melalui kaedah yang dianjurkan PTPTN.

“... contohnya macam Simpan SSPN ini sebab banyak manfaat yang kita boleh peroleh di samping cabutan tahunan dan kempen-kempen yang dianjurkan oleh PTPTN sendiri,” kata Pegawai Latihan Vokasional Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Bintulu.

Bagai bulan jatuh ke riba, pemenang tempat kedua Mashalina Halim, 33, berkata memahami fungsi Simpan SSPN, kewajipan beliau untuk membuka akaun berkenaan bagi menjamin masa depan akademik anak-anaknya seolah-olah memberikannya ganjaran apabila memenangi wang tunai sebanyak RM50,000.

“Masa mula-mula saya dapat panggilan itu saya macam biar betul sebab saya tiada hutang PTPTN, jadi bila dia cakap saya pemenang tempat kedua itu saya bersyukur dan saya percaya ini adalah rezeki anak saya cuma menumpang sahaja,” katanya.

Sehingga 31 Dis 2023, deposit Simpan SSPN yang diterima berjumlah RM17.39 bilion membabitkan 6.25 juta akaun.

Untuk maklumat lanjut mengenai PTPTN boleh diakses di pautan www.ptptn.gov.my. -Bernama

Read Entire Article