Fahmi: Utamakan titah Al-Sultan Abdullah agar jaga perpaduan

9 months ago 121
ADVERTISE HERE

PUTRAJAYA: Titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai aspek perpaduan dalam negara harus diutamakan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi Bil 1/2024 di sini hari ini, beliau berkata titah Al-Sultan Abdullah pada Majlis Jamuan Negara 27 Jan lepas amat meninggalkan kesan, terutamanya apabila baginda menjadi payung negara sewaktu negara dilanda pandemik Covid-19 dan gelora politik.

Justeru beliau meminta Jabatan Penerangan untuk menerbit dan menyebarluas grafik berkaitan titah baginda kepada masyarakat umum.

“Kita lihat bagaimana Tuanku cukup terkesan, dan pesanan Tuanku agar sentiasa jaga perpaduan. Ini harus menjadi satu perkara yang harus kita utamakan.

“Saya pohon Datuk Sukari (Ketua Pengarah JAPEN Datuk Mohd Sukari Ab Hamid), kita pastikan grafik itu dapat disebarluaskan, bukan hanya sekadar sebaran luas, tetapi (bagi) pemahaman yang mendalam,” kata Fahmi.

Pada Majlis Jamuan Negara sempena tamat tempoh pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah yang sebak sehingga menitiskan air mata, bertitah supaya seluruh rakyat Malaysia menjaga perpaduan dan semangat hidup bermasyarakat di negara ini sepenuh hati.

Sementara itu, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan turut meminta JAPEN dan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) untuk menerbitkan info ringkas sama ada berbentuk video dua minit atau diagram yang memuatkan penjelasan mengenai Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) memandangkan ramai masih belum faham mengenainya.

“Kita mesti usahakan agar kita dapat menjelaskan dengan mudah, apakah manfaat besar, apa kebaikannya dan kenapa kita tidak perlu ragu-ragu mengenai sistem PADU... saya mohon supaya perkara ini disegerakan,“ katanya.

Beliau turut mengarahkan Jabatan Penyiaran Malaysia dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) untuk memuat naik atau mengulang siar inisiatif kerajaan seperti bantuan awal persekolahan dan Sumbangan Tunai Rahmah supaya rakyat mengetahui program sedemikian sedang berjalan.

Sementara itu, Fahmi meminta Bernama selaku pengelola Tabung Kasih@HAWANA (Hari Wartawan Nasional) untuk meneliti sama ada peruntukan RM1 juta yang disalurkan kepada tabung berkenaan sebelum ini mencukupi bagi membantu wartawan veteran dan bekas pengamal media yang uzur.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sambutan HAWANA 2023 pada 28 Mei lepas mengumumkan peruntukan permulaan RM1 juta kepada Tabung Kasih@HAWANA.

Sambutan HAWANA 2024 dijadual berlangsung di Sarawak pada Mei ini. -Bernama

Read Entire Article