FWTA perkasa pengurusan tenaga kerja asing di Sarawak

8 hours ago 5
ADVERTISE HERE

MIRI, 29 Sept: Sistem Pendekatan Transformasi Pekerja Asing (FWTA) Sarawak diperkenalkan bagi memperkemas pengurusan tenaga kerja asing melalui proses yang lebih cekap, telus serta berteraskan pematuhan dan kebajikan pekerja.

Penasihat di Jabatan Premier Sarawak, Datu Ken Leben berkata, transformasi berkenaan penting bagi menyokong keperluan tenaga kerja dalam pelbagai sektor industri seiring dengan perkembangan ekonomi Sarawak.

“Ketika kita mempercepat projek infrastruktur mega, mengembangkan ekonomi digital dan memodenkan sektor pertanian, keperluan terhadap tenaga kerja yang tersusun, cekap dan tangkas menjadi semakin penting.

“Walaupun fokus utama kita kekal kepada peningkatan kemahiran, latihan semula dan pemerkasaan bakat tempatan, kita juga perlu mengakui realiti ekonomi semasa bahawa pengurusan tenaga kerja asing kekal menjadi komponen penting dalam menyokong pertumbuhan operasi dan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program SCSIMon Industry Update (Miri) sempena Sambutan Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak di sini, hari ini.

Tambah beliau, pendekatan lama dalam pengurusan tenaga kerja asing perlu ditambah baik bagi menangani isu berkaitan kekangan pentadbiran, kelewatan proses kawal selia dan ketidakselarasan dasar.

“FWTA bukan sekadar peningkatan digital, sebaliknya merupakan perubahan asas dalam cara kita mentadbir, memproses dan mengintegrasikan tenaga kerja asing ke dalam sektor industri,” katanya.

Menurutnya, transformasi berkenaan memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu kecekapan, ketelusan serta pematuhan dan kebajikan pekerja.

“Proses permohonan akan diselaraskan dan diautomasi bagi mengurangkan tempoh menunggu, selain menyediakan rangka kerja yang jelas, boleh dijejaki dan seragam kepada majikan.

“Pada masa sama, kita mahu memastikan amalan tenaga kerja mematuhi piawaian antarabangsa yang ketat bagi melindungi reputasi industri serta kebajikan pekerja,” jelasnya.

Jelas beliau lagi, pemain industri digalakkan agar terus memberikan pandangan, maklum balas operasi dan cadangan penambahbaikan bagi memastikan pelaksanaan FWTA memenuhi keperluan sebenar di lapangan.

Katanya, kerjasama antara kerajaan dan industri penting bagi memastikan peralihan kepada sistem baharu dapat dilaksanakan dengan lancar tanpa menjejaskan operasi perniagaan. – TVS

Read Entire Article