ADVERTISE HERE
BINTULU, 29 Sept: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) sedang mengusahakan pendaftaran Petunjuk Geografi (GI) bagi Gagung Iban Sarawak dalam usaha melindungi keunikan serta identiti warisan kraftangan berkenaan.
Usaha itu dilaksanakan menerusi sesi libat urus pemegang taruh selama dua hari di Nu Hotel, Bintulu, yang menghimpunkan agensi kerajaan, pakar teknikal serta 25 ahli Kelab Gagung Sarawak (KGS).
“Sesi ini penting bagi memastikan setiap aspek berkaitan Gagung Iban Sarawak dapat didokumentasikan dengan tepat, termasuk ciri, kaedah penghasilan dan identitinya sebagai warisan kraftangan masyarakat Iban,” kata kenyataan itu, pada Isnin.
Sepanjang sesi berkenaan, peserta memberi tumpuan kepada pembangunan Dokumen Spesifikasi GI dengan bimbingan Penolong Setiausaha Kanan MTCP, Dr Elena Chai, bersama wakil Majlis Kraf Sarawak dan Jabatan Muzium Sarawak.
Pengasas KGS, Jabang Juntan yang juga Pegawai Daerah Bukit Mabong, Kapit, turut hadir dalam sesi libat urus berkenaan.
Inisiatif itu merupakan antara langkah penting dalam usaha mendokumentasikan dan melindungi identiti Gagung Iban Sarawak, selain memperkukuh pengiktirafannya sebagai warisan kraftangan Sarawak. – TVS

8 hours ago
7








English (US) ·