ADVERTISE HERE
KUCHING, 26 Sept: Hari Terbuka Farmasi anjuran Kolej Cyberjaya Kuching menjadi platform untuk memperkenalkan bidang farmasi kepada masyarakat, khususnya pelajar yang berminat meneruskan pengajian dalam bidang kesihatan.
Program berkenaan turut memberi peluang kepada pelajar mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai peranan ahli farmasi, persekitaran pembelajaran serta peluang pendidikan dan kerjaya yang tersedia dalam bidang berkenaan.
Pelajar Sijil Sains Kolej Cyberjaya Kuching, Jackie Zack Alum, 18, berkata program itu penting dalam memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai bidang farmasi serta laluan pendidikan yang boleh diterokai.
“Objektif utama Hari Terbuka Farmasi ini adalah untuk memperkenalkan bidang farmasi kepada masyarakat, khususnya pelajar yang berminat dalam bidang penjagaan kesihatan.
“Melalui program ini, pelajar dapat mengetahui dengan lebih lanjut mengenai bidang farmasi, persekitaran pembelajaran serta pelbagai peranan yang dimainkan oleh ahli farmasi,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.
Sementara itu, pelajar Diploma Sains Perubatan dan Kesihatan Kolej Cyberjaya Kuching, Andrea Supang Steve, 18, berkata program tersebut turut memberi pendedahan mengenai aspek asas dalam pengurusan ubat-ubatan.
Menurutnya, pelajar berpeluang memahami proses penyediaan, penyimpanan serta penggunaan ubat secara betul, selain mengetahui peluang melanjutkan pengajian dalam bidang farmasi.
“Program ini dapat memberi pendedahan kepada pelajar mengenai bidang farmasi, termasuk penyediaan, penyimpanan dan penggunaan ubat dengan betul.
“Program ini juga membantu pelajar mengetahui peluang pendidikan seperti program diploma dan ijazah dalam bidang farmasi serta syarat kemasukan,” katanya.
Dalam pada itu, pelajar Diploma Sains Perubatan dan Kesihatan Kolej Cyberjaya Kuching, Healyanna Janne Nelson, 18, berkata Kolej Cyberjaya Kuching terus memperkukuh aspek pendidikan dan latihan bagi memastikan pelajarnya bersedia menghadapi keperluan sektor penjagaan kesihatan moden.
Katanya, usaha itu termasuk penambahbaikan kurikulum, peluasan kemudahan latihan amali serta pengukuhan kerjasama dengan hospital dan farmasi.
“Kolej Cyberjaya Kuching sedang meningkatkan kurikulum dengan menyesuaikannya mengikut standard penjagaan kesihatan moden, di samping memperluas kemudahan latihan amali serta memperkukuh kerjasama dengan hospital dan farmasi terkemuka.
“Matlamat utama kolej adalah untuk melahirkan generasi pelajar yang mempunyai kemahiran klinikal dunia sebenar dan seterusnya menjadi profesional farmasi bertaraf dunia yang mampu menyumbang kepada masa depan sektor penjagaan kesihatan,” katanya.

11 hours ago
9








English (US) ·