Hanifah Hajar Taib

Advertisement

KUCHING, 15 Okt: Isu kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran adalah isu semasa yang tidak asing di negara membangun dan negara berpendapatan tinggi.

Menurut Timbalan Menteri Ekonomi Dato Hanifah Hajar Taib, Malaysia berjaya mengekalkan kadar pada tahap purata iaitu 37 peratus setakat suku kedua tahun 2024.

“Kadar ini kita lihat semakin menurun dengan tahap pendidikan di kalangan belia semakin meningkat.

Advertisement

“Sebagai contoh, kadar guna tenaga tidak penuh peringkat STPM adalah 55.8 peratus dan lebih rendah lagi pada peringkat ijazah rendah iaitu 26.9 peratus,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Isu ini tambah Hanifah bukanlah satu fenomena unik kepada Malaysia kerana kadar peratusan guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran di negara berpendapatan tinggi juga dalam lingkungan yang sama.

Korea Selatan merekodkan kadar 38 peratus, Australia pada 32 peratus, United Kingdom (28 peratus) dan Amerika Syarikat (30 peratus).

“Oleh itu, kerajaan pada masa ini sedang berusaha untuk meningkatkan pelaburan bagi memastikan perwujudan pekerjaan melalui inisiatif.

“Ia seperti Pelan Tindakan KL20, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030,” ujar Hanifah. — DayakDaily