Jerebu belum terbukti jejas hidupan liar Sarawak, kehilangan habitat lebih membimbangkan

8 hours ago 6
ADVERTISE HERE

TIADA bukti setakat ini yang mengesahkan hidupan liar di Sarawak terjejas secara langsung akibat jerebu, namun kehilangan habitat susulan kebakaran hutan, dibimbangi menjadi ancaman yang lebih besar dan berpanjangan kepada kelangsungan spesies, sekali gus meningkatkan risiko konflik antara manusia dan hidupan liar.

Pengurus Besar Sarawak Forestry Corporation (SFC), Abang Arabi Abang Aimran berkata pemantauan berterusan di seluruh Sarawak, dari Tanjung Datu hingga Lawas, tidak menemukan kes hidupan liar yang boleh dikaitkan secara khusus dengan episod jerebu ketika ini.

Menurutnya, pemantauan SFC terhadap hidupan liar dilaksanakan secara berterusan, bukan hanya ketika jerebu tetapi juga bagi menghadapi kemungkinan bencana lain termasuk banjir dan fenomena El Nino.

Abang Arabi Abang Aimran

“Setakat ini, kita tidak menerima laporan khusus mengenai hidupan liar di seluruh Sarawak yang benar-benar terjejas akibat jerebu.

“Oleh itu, kita tidak dapat mengesahkan bahawa keadaan jerebu di Sarawak ketika ini menjejaskan hidupan liar secara keseluruhan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama TVS di Taman Negara Niah, Miri baru-baru ini.

Malah, beliau berkata SFC setakat ini juga tidak mempunyai kes khusus hidupan liar yang diselamatkan atau ditemui dalam keadaan terjejas akibat fenomena jerebu semasa.

Namun, ketiadaan laporan kesan langsung itu tidak bermakna hidupan liar dan ekosistem Sarawak berada dalam keadaan selamat sepenuhnya.

Sebaliknya, perhatian kini beralih kepada ancaman yang lebih sukar dilihat tetapi boleh meninggalkan kesan yang jauh lebih lama iaitu kehilangan habitat.

Apabila habitat terbakar, yang hilang bukan sekadar pokok

Abang Arabi berkata musim panas dan kering yang lazimnya hadir serentak dengan episod jerebu turut meningkatkan risiko kebakaran hutan, sama ada akibat aktiviti manusia yang disengajakan atau tidak disengajakan.

Setakat pemantauan SFC, satu kejadian kebakaran dilaporkan berlaku di kawasan Pusat Lindungan Hidupan Liar Samunsan, Lundu pada 20 Ogos lepas dan dipercayai berpunca daripada pembakaran terbuka oleh penduduk setempat sebelum merebak ke kawasan perlindungan tersebut.

Kebakaran hutan di Hutan Simpan Samunsam. Foto JBPM

Kebakaran itu dianggarkan menjejaskan kira-kira dua hektar kawasan dalam Samunsam.

“Perkara yang kita bimbangkan ialah kemusnahan habitat akibat kebakaran. Apabila sesuatu kawasan habitat terjejas, kawasan tersebut yang menjadi tempat tinggal hidupan liar mungkin musnah.

“Akibat kehilangan habitat, hidupan liar berkemungkinan keluar dari kawasan asal dan memasuki kawasan perumahan penduduk setempat,” katanya lagi.

Menurut Abang Arabi, hidupan liar terutama mamalia liar mempunyai keupayaan untuk melarikan diri daripada kawasan yang dilanda bencana.

Namun, kebolehan melarikan diri tidak bermaksud haiwan tersebut terlepas daripada kesan kemusnahan.

Apabila habitat musnah, rumah yang menyediakan makanan, air dan perlindungan turut hilang.

Di sinilah kesan kebakaran mula melangkaui sempadan hutan.

Haiwan yang kehilangan habitat mungkin bergerak lebih jauh untuk mencari sumber makanan, air atau tempat berlindung, sekali gus berdepan kemungkinan memasuki kawasan penempatan manusia.

Keadaan itu boleh mencetuskan konflik manusia-hidupan liar yang sebelum ini sememangnya pernah berlaku di beberapa kawasan di Sarawak termasuk Kuching dan Miri.

Hidupan liar keluar bukan semestinya kerana jerebu

SFC sebelum ini menerima beberapa laporan hidupan liar berkeliaran di kawasan yang tidak lazim termasuk seekor kucing hutan yang dilaporkan melintas jalan di kawasan Tanjung Kibong, Sibu pada 13 Ogos 2026.

Satu lagi laporan diterima pada 1 September lalu apabila seekor monyet probosis jantan dilihat berkeliaran berhampiran kawasan Old Court House di Kuching.

Bagaimanapun, selepas pemantauan lanjut, SFC tidak mengaitkan kedua-dua kejadian tersebut sebagai kesan langsung jerebu.

Perincian itu penting kerana ia menunjukkan bahawa kemunculan hidupan liar di kawasan manusia tidak semestinya boleh dijelaskan hanya dengan satu faktor.

Sebaliknya, apabila haiwan meninggalkan habitat asal, persoalan yang lebih besar ialah apa yang sedang berlaku kepada habitat tersebut.

Jerebu hanya satu lagi tekanan kepada ekosistem

Ketua Pemuliharaan Sarawak WWF-Malaysia, Cynthia Chin berkata manusia dan hidupan liar merupakan sebahagian daripada sistem yang saling bergantung dengan hutan.

Menurutnya, jerebu perlu dilihat sebagai tekanan tambahan terhadap ekosistem yang sudah berdepan pelbagai tekanan lain.

Cynthia Chin

“Hidupan liar bergantung pada hutan. Apabila berlaku jerebu, kebakaran dan kemarau, asap akan mengubah cara hidupan liar berinteraksi dengan persekitaran hutan.

“Keadaan ini menjejaskan sumber makanan, tingkah laku dan proses pembiakan mereka. Jerebu juga boleh mendatangkan kemudaratan secara langsung, khususnya apabila berlaku kebakaran yang merebak dengan pantas sehingga menjejaskan mamalia besar yang tidak dapat berlari dengan pantas atau tidak mempunyai laluan untuk menyelamatkan diri,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama TVS di Pejabat WWF-Malaysia Sarawak di Bangunan Binamas, Kuching baru-baru ini.

Beliau berkata kesan tersebut tidak semestinya dapat dilihat dalam bentuk haiwan mati atau cedera.

Sebaliknya, perubahan terhadap tumbuhan, buah-buahan, sumber air dan spesies mangsa boleh mengubah keseluruhan corak kehidupan di dalam hutan.

Spesies yang bergantung kepada tumbuhan dan buah-buahan, misalnya, mungkin berdepan kekurangan makanan apabila kitaran tumbuhan terjejas manakala spesies pemangsa pula boleh kehilangan sumber mangsa.

“Hidupan liar akan cuba berpindah ke kawasan lain untuk mencari sumber makanan dan air. Apabila mereka tidak dapat menemukannya, tingkah laku mereka akan berubah. Mereka mungkin berpindah ke kawasan yang mempunyai bekalan air yang lebih baik.

“Sekiranya mereka tidak dapat berbuat demikian, akhirnya mereka mungkin mati,” katanya lagi.

Dalam jangka panjang, keadaan berkenaan boleh menjejaskan keupayaan sesebuah spesies untuk terus hidup dan seterusnya memberi kesan kepada populasinya.

Haiwan boleh melarikan diri, habitat tidak semestinya pulih

Cynthia berkata sesetengah haiwan mungkin cuba menjauhi kawasan yang dipenuhi asap atau dilanda kebakaran manakala sebahagian lain mungkin bersembunyi, mencari kawasan terlindung atau menunggu keadaan kembali reda.

Namun, keupayaan untuk bergerak tidak bermaksud semua haiwan mempunyai pilihan yang sama.

Keadaan itu bergantung kepada jenis spesies, habitat yang tersedia dan sejauh mana gangguan berlaku.

Beruang Matahari. Foto: Envato

Bagi mamalia berdarah panas, katanya, pencemar atmosfera berpotensi memberi tekanan kepada sistem pernafasan selain mempengaruhi tingkah laku termasuk pergerakan mencari makanan dan pembiakan.

“Berdasarkan kesan jerebu terhadap manusia, kita boleh mengandaikan bahawa haiwan juga mungkin mengalami kesan yang sama termasuk kerengsaan sistem pernafasan dan kesukaran bernafas.

“Keadaan ini turut menyebabkan tekanan terhadap tingkah laku mereka. Mereka mungkin tidak mahu membiak atau mengawan manakala cara mereka mencari makanan juga boleh berubah,” katanya.

Persoalannya kemudian bukan sekadar sama ada seekor haiwan mampu bertahan beberapa hari dalam keadaan berjerebu.

Persoalan yang lebih besar ialah sama ada habitat yang menjadi asas kepada kehidupannya masih wujud selepas api reda dan jerebu hilang.

Kawasan gambut: bahaya yang membakar dari bawah

Bagi WWF-Malaysia, antara risiko paling besar dalam episod kebakaran ketika musim kering ialah apabila api memasuki kawasan gambut.

Cynthia berkata kawasan gambut mempunyai nilai penting bukan sahaja kepada biodiversiti tetapi juga kepada kehidupan manusia kerana keupayaannya menyimpan air.

Kebakaran hutan gambut di Serembang, Betong. Foto JBPM

“Jika dibandingkan dengan Kalimantan, kehilangan habitat di Sarawak jauh lebih rendah. Namun, ancaman timbul apabila kebakaran merebak ke kawasan habitat seperti hutan paya gambut atau tanah gambut.

“Kerosakan yang berlaku boleh menjadi sangat meluas dan berpanjangan kerana kawasan tersebut boleh terbakar untuk tempoh yang lama,” katanya.

Menurut beliau, kebakaran di kawasan gambut boleh berlaku jauh di bawah permukaan tanah dan berterusan walaupun tidak kelihatan dari atas.

Ancaman itu menjadikan kawasan gambut berbeza daripada kebakaran hutan biasa kerana kesannya boleh berlanjutan jauh selepas api tidak lagi kelihatan.

Apabila gambut rosak, manusia turut menerima kesan

Kepentingan gambut, kata Cynthia, tidak berhenti pada soal perlindungan hidupan liar.

Kawasan itu lazimnya dipenuhi air dan memainkan peranan dalam menyimpan serta mengekalkan air, selain membantu menjadi benteng semula jadi terhadap banjir.

Apabila kawasan gambut dikeringkan, dibersihkan atau terbakar, kesannya boleh merebak kepada struktur tanah dan sistem air.

“Apabila kebakaran berlaku atau kawasan gambut dibersihkan, kawasan tersebut menjadi lebih mudah terbakar. Kebakaran seterusnya boleh memusnahkan tanah gambut.

“Keadaan ini turut menjejaskan kehidupan manusia kerana boleh menyebabkan penurunan permukaan tanah atau mendapan tanah. Selain itu, pembakaran bahan organik dalam tanah gambut turut menimbulkan masalah,” katanya.

Pemandangan kawasan banjir di Bintulu yang dirakam oleh Unit Dron Angkatan Pertahanan Awam Sarawak pada 30 Januari lepas. Foto fail Bernama

Menurut Cynthia, kehilangan fungsi gambut akhirnya boleh menjejaskan masyarakat apabila keupayaan semula jadi kawasan tersebut untuk menyimpan air dan membantu mengawal banjir terganggu.

“Sudah tentu, keadaan ini juga menjejaskan hidupan liar. Namun, kesannya turut mengancam kelangsungan hidup manusia kerana kehilangan kawasan gambut yang berfungsi sebagai benteng semula jadi untuk mengurangkan risiko banjir.

“Sekiranya kawasan gambut dimusnahkan, risiko banjir akan meningkat,” katanya.

Beliau berkata Sarawak telah kehilangan sebahagian kawasan gambut dalam tempoh empat hingga lima dekad lalu, menjadikan usaha mengekalkan dan mengurus kawasan tersebut semakin penting.

Bila hidupan liar muncul di halaman rumah

Kehilangan habitat akhirnya boleh mengubah apa yang berlaku di luar hutan.

Cynthia berkata apabila hidupan liar muncul di kawasan perumahan, belakang rumah atau tempat yang bukan habitat lazimnya, masyarakat perlu menyedari bahawa mungkin terdapat gangguan pada ekosistem asal haiwan tersebut.

“Sebagai contoh, kita melihat kejadian di Ketapang, Kalimantan Barat apabila seekor orang utan yang terjejas akibat jerebu melarikan diri ke kawasan berhampiran manusia.

“Apabila berlaku kebakaran atau jerebu, keadaan ini mengurangkan jumlah cahaya matahari yang menembusi persekitaran. Sesetengah spesies haiwan dan serangga mungkin mengalami kekeliruan akibat perubahan tersebut,” katanya.

Menurut Cynthia, kemunculan haiwan itu tidak seharusnya terus dianggap sebagai gangguan yang perlu dihapuskan.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor berjaya menangkap seekor monyet yang menceroboh masuk ke bilik mandi sebuah rumah di Bintangor. Foto BBP Bintangor

Beliau berkata orang awam yang menemui hidupan liar di kawasan yang tidak sepatutnya perlu mengelak daripada menghampiri atau mengganggu haiwan tersebut.

“Kita perlu memahami bahawa haiwan tersebut sebenarnya tidak memilih untuk berada berhampiran manusia. Sebaliknya, mereka lebih cenderung menjauhi manusia.

“Masyarakat tidak seharusnya mempunyai perasaan benci terhadap hidupan liar kerana kita perlu memahami bahawa haiwan tersebut juga tidak mahu berada berhampiran manusia. Isu yang lebih besar sebenarnya ialah gangguan terhadap sistem semula jadi dan kemusnahan habitat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar terus menghubungi pihak berkuasa seperti SFC yang mampu mengendalikan situasi sedemikian.

Jangan tunggu bencana menjadi kebiasaan

Bagi WWF-Malaysia, pengurusan habitat tidak boleh hanya dipertingkatkan ketika jerebu melanda.

Cynthia berkata pengurusan kawasan gambut secara berhemah amat penting bagi mengurangkan risiko kebakaran dan memastikan episod jerebu tidak berpanjangan akibat pembakaran di kawasan tersebut.

“Sarawak mempunyai kawasan hutan terluas di Malaysia. Sarawak juga merupakan satu-satunya wilayah di Malaysia yang boleh berbangga kerana lebih 50 peratus daripada keluasan daratannya masih diliputi hutan.

“Keadaan ini merupakan sesuatu yang sangat baik. Kini, kita perlu memastikan kawasan hutan tersebut terus dipelihara dan diurus dengan baik,” katanya.

Menurut beliau, tiada satu tindakan segera yang boleh menghapuskan jerebu begitu sahaja, sebaliknya pendekatan yang diperlukan ialah pengurusan, pemuliharaan dan pencegahan secara berterusan.

Usaha itu, katanya, perlu merangkumi hutan, hidupan liar, tumbuhan dan masyarakat tempatan supaya manfaat daripada sistem semula jadi terus dikongsi manusia tanpa menjejaskan ekosistem.

“Kita perlu terus mengurus dan memulihara alam semula jadi termasuk hutan, hidupan liar dan tumbuh-tumbuhan, di samping memastikan komuniti setempat turut mendapat manfaat daripada sistem semula jadi.

“Perkara paling penting ialah kita perlu bertenang dan meneruskan usaha pemuliharaan yang sedang dilaksanakan,” katanya.

Hutan hujan di Ulu Baram, Miri. Foto: AFP

Cynthia berkata Sarawak juga perlu meneruskan agenda kelestarian bagi memastikan ancaman alam sekitar tidak berkembang menjadi bencana yang lebih besar pada masa depan.

Walaupun sebahagian besar jerebu yang dirasai Sarawak berpunca dari negara jiran, katanya, wilayah ini tidak boleh menganggap risiko yang sama tidak mungkin berlaku dari dalam sempadannya sendiri.

“Kita mengetahui bahawa sebahagian besar jerebu ketika ini berpunca dari negara jiran. Namun, jika kita tidak berhati-hati, dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, jerebu mungkin juga berpunca dari kawasan kita sendiri.

“Kita tidak mengetahui sama ada perkara itu akan berlaku dan kita tidak mahu keadaan sedemikian terjadi,” katanya.

Beliau berkata kesan kesihatan jangka panjang akibat jerebu dan pencemaran udara masih memerlukan penelitian lanjut termasuk kemungkinan penyakit paru-paru dan alahan.

Namun, katanya, tindakan pencegahan tidak seharusnya menunggu sehingga kesan berkenaan menjadi semakin jelas.

“Usaha Kerajaan Sarawak untuk menghijaukan Sarawak, mengekalkan kemampanan dan memelihara hutan yang masih utuh merupakan langkah yang tepat. Masa depan kita bergantung pada usaha tersebut.

“Namun, kita juga perlu menyedari bahawa masa semakin suntuk. Kita sedang berlumba dengan masa dan perlu memastikan kita sentiasa berada selangkah di hadapan ancaman alam sekitar. Ancaman tersebut sedang berlaku sekarang,” katanya.

Apabila hutan tidak lagi bernafas

Setakat ini, SFC tidak mempunyai bukti untuk mengesahkan bahawa episod jerebu semasa telah menjejaskan hidupan liar Sarawak secara langsung.

Namun, angka itu bukan alasan untuk menganggap ancaman telah berakhir.

Satu kebakaran di Samunsam sahaja telah menjejaskan kira-kira dua hektar habitat manakala ancaman terhadap kawasan gambut berpotensi berlaku jauh di bawah permukaan, merosakkan ekosistem dan mengubah sistem air yang turut menjadi benteng semula jadi kepada manusia.

Orang Utan memanjat pokok dalam keadaan jerebu. Foto AFP

Apabila habitat musnah, hidupan liar mungkin terpaksa bergerak.

Apabila makanan dan air berkurang, tingkah laku boleh berubah.

Apabila haiwan keluar dari habitat asal, mereka mungkin memasuki kawasan manusia.

Dan apabila itu berlaku, konflik manusia-hidupan liar mungkin hanya menjadi gejala kepada masalah yang lebih besar yang bermula di dalam hutan.

Bagi manusia, jerebu memberi pilihan untuk berlindung, memakai pelitup muka atau meninggalkan kawasan yang tercemar.

Bagi hidupan liar, hutan adalah tempat tinggal, sumber makanan, sumber air dan perlindungan yang tidak boleh ditinggalkan begitu sahaja.

Jadi, persoalannya bukan lagi semata-mata bagaimana hidupan liar bernafas ketika jerebu.

Persoalan yang lebih besar ialah, apabila asap sudah hilang, api sudah padam dan langit kembali cerah, adakah rumah mereka masih ada? – TVS

Read Entire Article