JPJ Sarawak tingkat kemahiran kendali alat timbang

53 minutes ago 4
ADVERTISE HERE

KUCHING, 19 Sept: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak memperkukuh keupayaan penguatkuasaan pemeriksaan berat kenderaan menerusi pemantapan kemahiran pegawai dan anggota dalam pengendalian peralatan timbang.

Usaha itu dilaksanakan menerusi kursus penggunaan alat timbang mudah alih dan alat timbang statik yang berlangsung selama dua hari bermula 17 September hingga semalam.

Kursus berkenaan melibatkan 30 anggota Bahagian Penguatkuasa JPJ Sarawak secara bersemuka, selain penyertaan pegawai dan anggota dari JPJ Cawangan Miri, Bintulu dan Sibu serta SP Skaloh dan SP Stapang secara dalam talian.

Ketua Cawangan JPJ Serian serta Ketua SPK Serian turut hadir dalam kursus tersebut.

Menurut JPJ Sarawak, peserta diberikan penerangan berkaitan kaedah penggunaan, pengendalian dan penyelenggaraan peralatan timbang oleh wakil Century Software (M) Sdn. Bhd. dan Cremorne Sdn. Bhd.

“Kursus itu memberi pendedahan kepada peserta mengenai pengendalian peralatan secara betul dan cekap ketika melaksanakan pemeriksaan berat kenderaan dalam operasi penguatkuasaan,” menurut kenyataan itu.

Pemantapan kemahiran berkenaan dijangka membantu pegawai dan anggota melaksanakan pemeriksaan berat kenderaan dengan lebih cekap dan tepat ketika operasi penguatkuasaan.

Turut hadir Timbalan Pengarah JPJ Sarawak, Mohd Faizal David Jemat; Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Sarawak, Fifi Suhesty Asmuni; dan Ketua Seksyen Operasi JPJ Sarawak, Saifullah Ali.

JPJ Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada Century Software (M) Sdn. Bhd. dan Cremorne Sdn. Bhd. atas perkongsian ilmu, penerangan serta tunjuk ajar sepanjang kursus berkenaan. -TVS

Read Entire Article