JPJ Sibu sita lapan kenderaan

2 days ago 13
ADVERTISE HERE

SIBU, 27 Sept: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menyita lapan kenderaan dalam pelaksanaan Ops Extreme, Ops Luxury dan Ops Pemandu Warga Asing (PEWA) di sekitar bandar Sibu dan Jalan Oya Lama semalam.

Operasi menerusi Unit Operasi JPJ Sibu itu turut memeriksa sebanyak 124 kenderaan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan dan aspek teknikal kenderaan.

Menurut kenyataan JPJ Sarawak, hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan dikesan, antaranya penggunaan lampu HID/LED yang tidak mematuhi ketetapan, tidak memakai tali pinggang keledar serta nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

“Selain itu, kesalahan lain membabitkan aspek teknikal kenderaan turut dikesan sepanjang operasi berkenaan.

“Dalam operasi sama, lapan kenderaan pelbagai jenis disita atas kesalahan termasuk Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perlindungan insurans yang telah tamat tempoh,” kata kenyataan itu.

Sitaan turut melibatkan kenderaan yang diubah suai secara ekstrem serta dipandu Pemandu Warga Asing (PEWA) tanpa lesen memandu yang sah.

JPJ Sarawak memaklumkan semua tindakan terhadap kesalahan yang dikesan dilaksanakan selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

JPJ Sarawak akan meneruskan operasi, rondaan dan pemantauan secara berterusan bagi meningkatkan pematuhan undang-undang serta memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan.-TVS

Read Entire Article