Kepelbagaian budaya kekuatan Sarawak

1 hour ago 6
ADVERTISE HERE

KUCHING, 16 Sept: Festival Kuih Bulan Antara Budaya Kuching (KIMF) bukan sekadar sambutan kebudayaan, malah menjadi platform penting dalam menampilkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, selepas lebih dua dekad dianjurkan, KIMF kini menjadi sebahagian daripada kisah Bandar raya Kuching, selain memainkan peranan dalam menggalakkan interaksi, persefahaman dan penghargaan antara masyarakat pelbagai kaum.

Menurutnya, konsep antara budaya bukan sekadar mempamerkan budaya setiap kaum, tetapi lebih penting dalam menyediakan ruang untuk masyarakat daripada pelbagai latar belakang bertemu, berinteraksi dan membina hubungan bersama.

“Pada malam ini kita melihat masyarakat Cina, Melayu, Dayak, India serta pelbagai kaum lain berniaga bersama, manakala golongan usahawan muda turut membawa idea kreatif dan tenaga baharu ke kawasan bersejarah ini.

“Inilah semangat kepelbagaian budaya Sarawak yang menjadi keunikan negeri ini,” katanya ketika merasmikan Festival Kuih Bulan Antara Budaya Kuching Kali ke-23 2026 di sini, malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan.

Karim menjelaskan, kepelbagaian yang wujud di Sarawak bukan faktor memisahkan masyarakat, sebaliknya menjadi kekuatan dalam menyatukan rakyat.

Tambahnya, program kebudayaan seperti KIMF penting dalam memperkukuhkan sektor pelancongan dan ekonomi kreatif, memandangkan pelancong kini bukan sahaja mahu mengunjungi tempat menarik, tetapi turut mencari pengalaman sebenar menerusi makanan, budaya, tradisi dan kehidupan masyarakat tempatan.

“Kawasan bandar lama Kuching mempunyai pelbagai tarikan termasuk bangunan warisan, perniagaan tradisional, makanan tempatan, persembahan budaya dan aktiviti kreatif yang membantu memastikan warisan terus hidup dan relevan,” ujarnya.

Beliau turut menyambut baik penyertaan lebih ramai peniaga muda dan usahawan dalam festival tahun ini, sambil menegaskan bahawa tradisi dan kreativiti tidak seharusnya dilihat sebagai perkara yang bertentangan.

“Generasi muda perlu diberi peluang untuk mentafsir semula budaya, mencipta sesuatu yang baharu dan meneruskan warisan tersebut dengan cara mereka sendiri,” jelasnya.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak akan terus menyokong inisiatif yang memperkukuhkan kepelbagaian budaya, memajukan industri kreatif serta menyediakan pengalaman bermakna kepada rakyat dan pelawat.-TVS

Read Entire Article